Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: AG rayu, jadi notis 10 hari PAA masih relevan

Keperluan menghantar notis sepuluh hari kepada pihak polis seperti ditetapkan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 masih kekal berkuatkuasa, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, ini kerana keputusan mahkamah yang menetapkan peruntukan itu sebagai tidak sah baru-baru ini sedang dirayu oleh pejabat peguam negara.

"Jadi apabila perkara ini ada dalam peruntukan undang-undang, ia masih relevan, masih bagus.

"Jadi kita akan menguatkuasakan undang-undang itu.

"Selagi perkara itu di bawah rayuan, peruntukan undang-undang itu masih relevan dan kita akan menguatkuasakannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai acara menembak PDRM bersama media sempena memperingati Hari Polis ke-207 di Cheras, tengahari ini.

25 April lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang menjadikan kegagalan penganjur memberi notis 10 hari sebagai satu kesalahan, adalah tidak munasabah kerana ia terjumlah kepada larangan efektif terhadap perhimpunan segera dan spontan.

    

Panel itu membenarkan rayuan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad bagi membatalkan pertuduhan menganjurkan perhimpunan Black 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei tahun lepas terhadapnya.

Bagaimanapun, polis sudah memula siasatan terhadap perhimpunan pada 1 Mei lalu, termasuklah kegagalan memberi notis 10 hari dari tarikh berhimpun seperti dikehendaki di bawah Seksyen 9(1) akta itu.

"Di bawah akta ini, pasukan keselamatan polis kita harus facilitate (memudahcara) himpunan, tetapi sungguh pun begitu kumpulan ini perlu mematuhi undang-undang.

"Dalam hal ini kita telah memulakan siasatan kerana pelanggaran beberapa syarat bawah Akta Perhimpunan Aman antaranya kerana tidak memberi notis," katanya.

ADS