Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Pasukan Bertindak Badan Pemantau Jenayah (MyWatch), R Sri Sanjeevan hari ini menyelar pihak polis kerana bertindak lambat dalam penyiasatan berhubung kes jenayah ke atas dirinya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan terhadap kes tembakan yang berlaku kepada dirinya Julai tahun lalu yang sehingga kini masih tiada tangkapan.

"Malah saya sehingga kini tidak tahu siapa pegawai penyiasat saya. Saya ditembak di Jempol tetapi pegawai penyiasat dari Seremban.

"Tak ada tindakan susulan, saya harap ada tindakan lanjut dari polis," kata beliau dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Sanjeevan turut mendedahkan beliau telah menerima tiga butir peluru hidup 9mm di dalam peti surat rumah keluarganya di Kampung Taman Jaya, Bahau dua hari lalu.

"Peluru ini sama jenis dengan yang telah tembak saya tahun lalu," kata beliau lagi.

Sanjeevan juga mendakwa polis bertindak “berat sebelah” kerana beliau sebagai rakyat Malaysia tidak menerima perlindungan keselamatan sama seperti sesetengah orang lain.

"Kalau melibatkan orang berkepentingan seperti menteri, kes disiasat dengan begitu cepat.

"Bila berkaitan kes yang hampir meragut nyawa saya masih tiada tindakan," kata beliau.

Pada 27 Julai tahun lalu, Sanjeevan ditembak oleh seorang pembonceng motosikal semasa beliau berada dalam sebuah kereta dalam kejadian di Jempol, Negeri Sembilan.

Peluru mengenai siku kanannya dan menembusi sebelah kanan tulang rusuk sehingga mengakibatkan beliau koma selama 35 hari di Hospital Serdang.

Polis telah mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sanjeevan mendakwa kejadian tersebut berlaku kerana beliau telah mendedahkan sidiket pengedaran dadah melibatkan pegawai tinggi polis di Negeri Sembilan.

Katanya, beliau juga masih menunggu untuk bertemu dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim berhubung kes tersebut.

Beliau berkata, pertemuan itu masih belum berlaku walau telahpun diarahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau juga sebelum ini menuntut polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengambil tindakan dua anggota polis di Johor yang didakwa memiliki wang berjumlah RM1.5 juta dalam akaun masing-masing.

"Jika polis tidak mengambil tindakan MyWatch tidak teragak-agak untuk mendedahkan nama mereka," katanya lagi.

ADS