Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kelantan akan membincangkan di Dewan Undangan Negeri mengenai usul menuntut royalti 20 peratus mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata cadangan meminta royalti sebanyak 20 peratus itu bagus dan lebih adil kepada negeri yang menyerahkan hasil mereka kepada Petronas.

"Kita akan bincangkan dalam dewan. Masalahnya ialah Sarawak telah menerima royalti sebelum ini. Kita royalti lima peratus pun tak dapat lagi," kata beliau ketika ditemui di Shah Alam hari ini.

Mohd Amar berkata Kelantan turut menunggu perkembangan jawatankuasa khas royalti minyak dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu.

"Sekarang jawatankuasa royalti diwakili Tengku Mahkota Kelantan. Kita masih tunggu keputusan mereka," kata beliau.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menggesa negeri pengeluar petroleum mengikut jejak langkah Sarawak yang meluluskan usul menuntut bayaran royalti petroleum dinaikkan kepada kadar 20 peratus.

Selain itu, bekas anggota Exco Kelantan itu juga menuntut agar negeri berkenaan menuntut pemilikan saham dalam syarikat petroleum negara, Petronas untuk membolehkan negeri tersebut menikmati agihan lebih adil.

"Saya mengucapkan tahniah di atas keberanian kerajaan Sarawak. Saya berharap tiga negeri pengeluar yang lain (Kelantan, Terengganu, Sabah) dapat mengambil langkah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam DUN Sarawak meluluskan usul untuk memohon kenaikan royalti minyak dan gas dari kerajaan persekutuan dari kadar lima peratus kepada 20 peratus.

Sarawak kini menerima RM1.6 bilion setahun dari bayaran lima peratus tersebut. Kenaikan sebanyak 15 peratus dari pengeluar minyak dan gas terbesar di Malaysia itu dijangka akan membolehkan Sarawak menikmati RM6.4 bilion setahun.

ADS