Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan bahawa tiga pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu semalam masih lagi kekal sebagai wakil rakyat BN.

"Ya, semuanya lagi termasuk YB Datuk Seri Ahmad Said (masih

kekal) sebab belum rasmi lagi (mereka keluar Umno)," katanya apabila ditanya status keanggotaan tiga wakil rakyat tersebut.

"Setakat saya difahamkan, kita belum dimaklumkan. Pihak YB Speaker belum menerima apa-apa (surat rasmi), jadi saya beranggapan (peletakan jawatan) itu belum ada kesahihan lagi."

Selain bekas menteri besar, ADUN Ajil, Ghazali Taib dan Bukit Besi Roslee Daud mengejutkan negeri itu dengan peletakan jawatan mereka. 

Tindakan itu susulan pelantikan Ahmad Razif sebagai menteri besar baru bagi menggantikan Ahmad Said. Bagaimanapun Roslee malam

tadi dilaporkan membatalkan peletakan jawatannya sebagai Adun BN.

Menurut Razif, buat sementara ini beliau akan menggunakan pejabatnya di tingkat enam bangunan pentadbiran kerajaan negeri, ketika beliau berkhidmat sebagai exco sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas itu beliau terpaksa beredar untuk menaiki pesawat jam 9 pagi ke Kuala Lumpur.

Razif akan menyertai semua ADUN BN di Putrajaya untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya sebagai menteri besar Terengganu yang baru maka saya bawa wakil rakyat BN untuk jumpa PM. Kami hendak dapatkan amanah PM bagi kita urus tadbir kerajan negeri terengganu," katanya.

Razif juga mengesahkan bahawa Roslee telah kembali ke pangkuan BN.

Ketika ditanya mengenai Datuk Ahmad Said dan Ghazali sama ada kedua-duanya akan turut ke Putrajaya, beliau menjawab: "Saya tidak tahu."

Beliau juga berkata tidak tahu sama ada pihak Umno berhubungan dengan kedua-duanya untuk memujuk mereka kekal dalam Umno.

Pertemuan wakil Umno Terengganu dengan Najib dijangka berlangsung petang ini di Jabatan Perdana Menteri.

Razif mendakwa kemelut yang berlaku adalah satu persepsi dan memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan BN di Terengganu akan kekal berkuasa.

Razif juga menjelaskan bahawa majlis perkahwinan anak perempuan Ahmad Said akan diadakan di kediamannya sendiri di Kemaman dan bukan di kediaman rasmi menteri besar di Kuala Terengganu.

Ahmad Said memberi alasan peletakan jawatannya adalah ekoran keengganan Najib untuk menunggu sehingga selepas majlis perkahwinan anak perempuannya sebelum dia melepaskan jawatan menteri besar.

[Baca berita penuh]

ADS