Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri besar baru Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau positif pendahulunya Datuk Seri Ahmad Said dan seorang lagi ADUN akan kembali ke pangkuan Umno.

Menurut beliau, komunikasi antara Ahmad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak positif dan beliau serta adun lain memberi masa kepada Ahmad dan ADUN Ajil Ghazali Taib untuk berbuat demikian.

"Yang saya maklum, speaker beritahu belum menerima kenyataan bertulis dari mereka untuk kembali (jadi ADUN Umno).

"Kami penuh percaya dan yakin cuma kita bagi sedikit masa supaya (bilangan) ADUN BN kembali kepada 17 (kerusi).

"Kami dimaklumkan ada komunikasi antara PM dan Ahmad Said dan ia positif.

"Insya-Allah saya bekerja dengan Datuk Seri Ahmad (Said) selama 6 tahun dan Insya-Allah beliau akan kembali bersama kita," kata beliau selepas mengetuai delegasi 13 ADUN termasuk speaker Terengganu bertemu Najib dan menteri kabinet lain hari ini.

Ahmad dilaporkan bakal membuat sidang media pada jam 5 petang ini.

Kesemua ADUN BN kecuali Ahmad, Ghazali dan ADUN Ulu Besut Nawi Mohammad berjumpa kira-kira dua jam dengan Najib di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun Nawi, seperti dimaklumkan Razif, tidak dapat hadir kerana sakit tetapi terus menyokongnya.

'Terima kasih Ahmad Said'

Razif memulakan tugasnya hari ini turut berkata, beliau tidak akan membuat rombakan exco dan speaker DUN Terengganu Datuk Zubir Embong.

Beliau juga berkata akan meneruskan tugasan “cemerlang” Ahmad.

Berhubung pertemuan hari ini, Razif berkata, ia memberi peluang kepada ADUN Terengganu bertukar fikiran dengan kepimpinan nasional.

"Apa yang berlaku ini lebih mengeratkan lagi hubungan antara BN Terengganu dan PM.

"Saya mengambil peluang (mengucapkan) terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Said melaksanakan kerja dengan cemerlang dan kita teruskan demi rakyat Terengganu," katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan terbaru itu, bekas setiausaha politik Ahmad berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan meminta media menunggu kenyataan rasmi daripada beliau.

"Saya tidak tahu, tapi mungkin (tarik surat dan serta semua Umno). Tunggu kenyataan rasmi daripada mulutnya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.


Laporan tambahan oleh Abdul Rahim Sabri.

ADS