Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GERAKAN kutuk serangan ke atas Dyana Sofya
Diterbitkan:  May 15, 2014 1:59 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Parti GERAKAN mengutuk tindakan penulis blog yang melancarkan serangan peribadi ke atas Dyana Sofya Mohd Daud selepas nama setiausaha politik Lim Kit Siang itu disebut-sebut sebagai antara calon untuk pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan.

Setiausaha agung GERAKAN Liang Teck Meng berkata, serangan dengan menyebarkan gambar seorang wanita berpakaian bikini yang seiras wajah Dyana itu malah satu perbuatan kurang ajar.

"Saya terkejut apabila mendapati gambar tersebut tersebar di Internet dalam usaha untuk memburuk-burukkan reputasinya.

"Tindakan seperti ini, pada pendapat saya bukan sahaja kurang ajar tetapi juga menghina wanita di Malaysia.

"Walaupun ada perbezaan politik, GERAKAN tidak membiarkan serangan peribadi ke atas mana-mana individu, sama ada dari BN atau pembangkang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa GERAKAN, yang akan bertanding di kerusi Teluk Intan, mendalangi serangan tersebut ke atas Dyana Sofya.

"GERAKAN berpandangan bahawa politik mesti diperjuang berasaskan prinsip, idea dan dasar.

"Berhubung dakwaan bahawa GERAKAN mendalangi serangan ini, kami menegaskan bahawa parti ini tidak akan merendahkan martabat kami sebegitu rupa demi publisiti murahan."

Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan menahan pihak yang bertanggungjawab menyebar gambar tersebut bagi mengelakkan berulang.

Dyana Sofya, 27, dikesan menjadi sasaran penulis blog pro-Umno yang menyebarkan gambar seorang wanita berpakaian bikini yang seiras wajahnya.

Gambar berkenaan dikesan dimuatkan di blog jomgelakfm.my dan theflyingkick.blogspot.com sejak semalam. Semakan Malaysiakini mendapati gambar berkenaan masih kekal disiarkan di blog berkenaan hari ini.

Gambar itu juga didapati dimuatkan di blog khairulryezal.blogspot.com dan bukti penyiaran gambar tersebut berjaya dirakam oleh pengguna laman sosial semalam.

Gambar wanita seiras wajah Dyana yang berpakaian bikini itu didapati telah dipadamkan hari ini dari blog berkenaan, namun bukti penyiarannya berjaya dirakam pengguna Internet.

Kalangan penulis blog Pakatan Rakyat pula, termasuk darisungaiderhaka.blogspot.com pula menyiarkan beberapa gambar yang menunjukkan bahawa individu dalam gambar tersebut adalah seorang pelakon Filipina, Pauleen Luna dan bukannya Dyana.

Sementara itu, Dyana, sendiri nampaknya tidak tertekan dan tidak memandang serius serangan peribadi seperti itu.

Beliau juga mampu berseloroh apabila para peminatnya bertanya mengenai gambar tersebut di laman sosial.

ADS