Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Komen pembaca: Umno, Najib ancam saman Mkini
Diterbitkan:  May 16, 2014 2:33 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Datuk Seri Najib Razak dan Umno mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini ekoran penyiaran dua artikel mengumpulkan pandangan pembaca dalam isu krisis Terengganu baru-baru ini.

Dalam notis tuntutan yang diserahkan petang semalam, tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili Umno dan Najib, atas kapasiti peribadinya, mendakwa dua artikel yang disiarkan pada 14 Mei lalu mengandungi kata-kata fitnah jahat pada anak guamnya.

Peguam Datuk Muhd Hafarizam Harun merujuk dua artikel bertajuk “A case of the PM reaping what he sows” and “How much will Najib spend to keep Terengganu?”.

“Segala tuduhan yang dibuat oleh pengguna-pengguna di laman web Malaysiakini.com adalah tidak berasas sama sekali, tanpa sebarang bukti yang kukuh dan adalah amat serius dengan niat jahat ( mala fide ) untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej anak-anak guam kami.

“Ia antara lain juga bertujuan menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti anak-anak guam kami selaku tulang belakang kerajaan BN yang mentadbir negara Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik,” menurut notis itu.

Najib dan Umno menuntut permohonan maaf tidak bersyarat daripada Malaysiakini , dalam tempoh 48 jam, dari tarikh surat tuntutan tersebut, penarikan balik artikel berkenaan dan menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan lagi kenyataan yang serupa .

Jika tiada maklum balas dalam tempoh itu, prosiding mahkamah akan diteruskan terhadap portal itu, termasuk memohon injunksi untuk menghalang penerbitan yang sama kandungannya.

Dalam reaksi segeranya, Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan berkata, pihaknya sudah menjangkanya selepas akhbar Umno Utusan Malaysia melancarkan serangan terhadap pembaca Malaysiakini bulan lalu.

Katanya, Malaysiakini sentiasa menawarkan hak untuk menjawab dan akan menawarkannya kepada Najib untuk menjawab dan menyampaikan pandangannya kepada pembaca portal berita itu,

“Beliau amat dialu-alukan untuk menjelaskan mengapa beliau fikir pandangan terhadapnya dan Umno itu adalah salah,” kata Gan ( kiri ).

Katanya, perdana menteri dan Umno patut menyatakan pandangan mereka untuk disiarkan dalam Malaysiakini, daripada mengancam organisasi media dengan prosiding fitnah.

Terengganu sebelum ini dilanda krisis apabila bekas menteri besar dan dua ADUN keluar Umno dan menjadi wakil bebas, sekaligus menyebabkan parti itu hilang penguasaan dan menjadi kerajaan minoriti.

Ia bagaimanapun kembali seperti sedia kala selepas ketiga-tiga mereka menyertai semula Umno tidak lama selepas itu.

ADS