Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker kesal insiden rempuh ke dalam DUN
Diterbitkan:  May 21, 2014 8:17 PM
Dikemaskini: May 22, 2014 3:11 AM

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang menyatakan rasa kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden merempuh masuk ke dalam Dewan oleh sekumpulan lelaki hari ini yang tidak berpuas hati dengan kenyataan anggota DUN Seri Delima R.S.N Rayer semalam mengenai Umno.

    

Law dalam kenyataan yang dibacakan ketika memulakan sidang DUN pada sesi petang berkata perkara ini tidak pernah berlaku dalam persidangan DUN dan ia mencemar sejarah politik negara.

"Saya melihat masih ada ruang yang lebih beradab untuk menyatakan ketidapuasan terhadap sesuatu isu daripada melakukan tindakan yang kasar dengan merempuh pagar utama DUN dan mencemar kemuliaan dewan yang jelas melanggar undang-undang," katanya.

    

Beliau meminta polis menyiasat segera insiden itu dan mengawal pintu masuk DUN bagi memastikan keselamatan dan persidangan Dewan terpelihara.

    

Sekumpulan 100 lelaki terdiri daripada anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang untuk mencari Rayer yang mengatakan "Umno Celaka" pada persidangan Dewan semalam.

    

Rayer mengeluarkan perkatan itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri itu cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.

    

Kumpulan berkenaan yang diketuai Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Jasmin Noordin kemudian memasuki dewan persidangan tetapi gagal menemui Rayer yang tidak hadir pada sesi petang persidangan.

    

Mereka mahu Rayer meminta maaf berhubung kenyataannnya semalam.

    

Persidangan terhenti lebih satu jam berikutan insiden itu dan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid bersama sepasukan anggota polis menenangkan anggpta kumpulan itu serta mengarahkan mereka beredar dari situ.

    

Setakat pukul 5.45 petang, polis menahan 12 orang yang dikenal pasti masuk ke dalam dewan persidangan untuk direkod keterangan dan disiasat.

    

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) juga melahirkan rasa kesal terhadap insiden yang berlaku.

    

Jahara turut menegur Rayer kerana dalam sejarah persidangan DUN itu juga belum ada anggota yang mengeluarkan perkataan menghina seseorang dan parti dengan perkataan terlalu keji.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian membahaskan usul tergempar yang dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Chow Koon Yeow (DAP-Padang Kota).

"Dalam tempoh enam tahun ini kami cukup sabar dengan cara pengendalian ucapan dan perkataan serta tohmahan yang diberi, 10 orang kami (Adun BN) boleh bendung tetapi kami juga tidak tahan, tidak suka dikata begitu tetapi sebab menghormati dan menjaga kemuliaan Dewan dan Speaker, kami teruskan bersabar," katanya.

    

Sementara itu, Jasmin yang ditemui berkata sebagai seorang wakil rakyat dan peguam, Rayer tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap imuniti DUN dengan mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati orang Melayu khususnya ahli Umno.

    

"Kalau berani saya cabar Rayer untuk mengulangi ungkapannya semalam di hadapan kami dan jangan hanya berani di dalam DUN. Kalau beliau mendakwa Umno celaka itu melibatkan keseluruhan tiga juta ahlinya," katanya.

Beliau berkata dalam pertemuan yang diaturkan pihak polis untuk bertemu Law dan Jahara, Speaker itu berjanji akan meminta Rayer memohon maaf atas kenyataannya itu pada persidangan Dewan esok.

- Bernama

ADS