Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ISMA: Dyana hanya satu muslihat DAP
Diterbitkan:  May 22, 2014 1:00 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

NGO Pro-Melayu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memberi amaran kepada pengundi agar tidak terpedaya dengan helah DAP yang meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.

Naib presiden NGO tersebut, Abdul Rahman Mat Dali dalam satu kenyataan berkata langkah tersebut hanyalah "umpan gula-gula murah" untuk meraih sokongan Melayu

"Tindakan meletakkan Dyana adalah untuk mengaburi mata orang Melayu.

"Ia adalah umpan gula-gula bagi mereka yang bersifat anak-anak yang tidak matang untuk menilai gula-gula itu lalu memakannya.

"Dyana adalah objek muslihat DAP dan bagi saya ia mahu menghina dan memperbodoh orang Melayu dengan taktik terbaru mereka kali ini," katanya.

Beliau juga membangkitkan dakwaan bahawa pendirian DAP dalam sosialisme dan sekularisme bertentangan dengan Islam.

"Bukankah parti itu memperjuangkan idealogi sosialis, sekular yang sama sekali tidak sehaluan dan tidak boleh digaul dengan Islam.

"Tahukah bahawa fahaman sosialis, juga seperti  komunis, sekular, kemanusiaan, liberal, dan demokrasi  dicipta  dan diasaskan oleh orang Yahudi.?

"Bukankah pencipta semua kefahaman yang dikatakan penegak keadilan dan mesra rakyat itu  juga sama seperi pemimpin Yahudi yang menzalimi dan menindas rakyat di Palestin?

"Lupakah anda perjuangan besar DAP adalah menyamaratakan sekaligus menghapus keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam?

"Percayakah anda  DAP akan menjaga Islam dan kaum Islam?," soalnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, ketua penerangan Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata satu "rahsia" bakal didedahkan menjelang 31 Mei, yang akan memberi kelebihan pada BN dalam pilihan raya kecil Teluk Intan.

Ahmad berkata, seramai 9,120 anggota Umno dan BN tidak keluar mengundi, yang menyebabkan BN tewas dalam pilihan raya umum lalu.

"Kami akan cari 9,120 pengundi ini dan bawa mereka mengundi pada 31 Mei," katanya.

Tambahnya, BN sudahpun mengenalpasti sebab pengundi tersebut tidak menjalankan tanggungjawab pada pilihan raya umum lalu.

ADS