Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Setakat 20 Feb, 2 produk Cadbury masih halal
Diterbitkan:  May 25, 2014 1:00 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggantung sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury secara serta-merta selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan ia mengandungi DNA babi.
 
“Dalam masa yang sama, siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenalpasti punca pencemaran tersebut,” kata ketua pengarahnya Datuk Othman Mustapha.
 
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, sampel Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dikesan mengandungi DNA babi (porcine).
 
DNA babi itu dikesan Kementerian Kesihatan dalam sampel Coklat Susu dengan Kacang Hazel bernombor kelompok (batch no) NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014; dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Januari 2015.
 
Dalam kenyataannya hari ini, Jakim juga berkata, pengguna yang menggunakan produk berlogo halal Malaysia tidak perlu bimbang kerana pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.
 
Katanya, jika terdapat sebarang perlanggaran atau ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat pensijilan,  Jakim akan menggantung atau menarik balik sijil pengesahan halal dengan serta-merta. 
 
Menurutnya lagi, pensijilan halal Malaysia melibatkan proses pengauditan dan pemeriksaan ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan digunakan.
 
Ini juga termasuk pengujian makmal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, tambahnya.
 
“Selepas sijil pengesahan halal Malaysia dikeluarkan, pemegang sijil adalah tertakluk kepada pemeriksaan berkala Jakim,” kata Othman.
 
Dalam isu dua produk Cadbury itu pula, jelasnya, pemeriksaan secara berkala terhadap syarikat pengeluar produk telah dibuat dan pemeriksaan terakhir pada 20 Februari lalu mendapati ia mematuhi piawaian pensijilan halal.

ADS