Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dyana akui ibu pernah bantu PERKASA
Diterbitkan:  May 26, 2014 7:51 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Dyana Sofya Mohd Daud hari ini mengakui bahawa ibunya Yammy Samat semenangnya pernah terlibat dengan NGO pendesak pro-Melayu, PERKASA.

Calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan itu juga mendedahkan, beliau turut membantu ibunya mendaftar anggota PERKASA pada 2008.

Beliau juga mengakui bahawa beliau sememangnya individu ditunjukkan dalam satu gambar yang tersebar dalam blog anti-Pakatan Rakyat.

Gambar itu menunjukkan beliau membantu Yammy ketika pelancaran laman web PERKASA dan kempen mendaftar anggota NGO tersebut pada 2008.

"Saya tidak tahu sama ada ibu saya anggota PERKASA ketika itu, dan saya pula masih belajar,” katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Beliau juga berkata, Yammy yang meminta beliau membantunya mengendali pendaftaran tersebut.

"Ya, ketika itu beliau terlibat dengan PERKASA tetapi selepas beberapa bulan beliau meninggalkan pertubuhan itu kerana tidak lagi percaya dengan PERKASA," katanya lagi.

Mengulas mengenai jawatan Yammy dalam PERKASA, beliau berkata ibunya itu hanya bertindak sebagai jawatankuasa penaja.

Ibunya meninggalkan PERKASA sebelum mesyuarat agung pertama NGO tersebut.

"Saya tidak pasti sama ada beliau merupakan anggota berdaftar PERKASA sebelum AGM itu... ibu saya seorang anggota Umno, saya bukan (anggota).

"Beliau mungkin terlibat dengan PERKASA, saya tidak. Mungkin ini tidak harus jadi isu," katanya.

Laporan akhbar hari ini menyebut, Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman mendakwa Yammy merupakan salah seorang pemimpin penaja PERKASA dan turut mengetuai sayap Wanita NGO tersebut.

Hamidah juga mendakwa, tiada rekod menunjukkan Yammy telah meletak jawatan sebagai anggota PERKASA.

ADS