Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan meminta warga Teluk Intan memilih calon BN Datuk Mah Siew Keong yang disifatkannya bertuah kerana sudah dijamin jawatan sebagai menteri.

Katanya, lantikan ke jawatan itu adalah ekslusif dan bukan satu perkara lazim bagi sesuatu kawasan parlimen untuk diwakili oleh seorang menteri.

"Saya harap orang Teluk Intan tak menolak tuah. Bukan selalu perkara ini berlaku. Hanya 16 presiden parti negara ini dari 222 kawasan parlimen.

"Kebetulan beliau (Mah) berasal dari Teluk Intan.

"Kalau calon DAP Dyana Sofya (Mohd Daud) menang, beliau sah tak jadi menteri," kata beliau dalam sidang media di Masjid Tuanku Mizan di Putrajaya hari ini.

Ahmad mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Beijing semalam yang mengumumkan Mah akan dilantik ke kabinet sekiranya terpilih mewakili Teluk Intan.

Sementara itu, Ahmad berkata BN sedang menumpukan untuk memastikan 9,210 pengundi 'putih' yang tidak mengundi ketika pilihan raya umum (PRU) lalu turun mengundi untuk membantu kemenangan Mah.

Menurutnya, data BN menunjukkan sekiranya dapat sekurang-kurangnya setengah daripada jumlah itu bagi menghilangkan majoriti DAP lebih 7,000 undi,

"Mudah-mudahan kita menang. Kita ada 9,210 pengundi putih yang juga ahli komponen BN tapi tak keluar mengundi atas sebab tertentu.

"Kita perlu 3,600 undi mereka untuk boleh menang. Harapan kita mereka yang  putih (sokong BN) yang tak keluar masa PRU itu, keluarlah.

"Janji PM (kepada pengundi Teluk Intan) adalah janji amat positif," kata beliau.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.

   

Pengundian akan diadakan esok.

Dalam pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan Mah dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.

ADS