Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bagitau saya negara mana harga barangnya turun...'

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata rakyat Malaysia masih boleh makan tanpa perlu membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurut beliau pelbagai barangan makanan dan keperluan asas telahpun dikecualikan kerajaan dari cukai kontroversi itu dan membantu kehidupan rakyat dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

"Barang dapur tiada GST beras, gula ikan semua...

"Jadi kalau nak masak tak kena GST, kalau untuk yang bukan Islam, babi pun tak kena GST.

"Pasar malam tak kena GST, Pasar Rabu Khamis semua tiada GDT

"Jadi pakai baju merah berkumpul berdemonstrasi itu untuk apa?" kata beliau dalam sesi penerangan GST kepada imam, guru agama dan wakil NGO bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya hari ini.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Malaysia akan melaksanakan sistem GST pada kadar cukai 6 peratus mulai 1 April 2015 ketika membentangkan Bajet 2014.

Menurut Ahmad, cukai GST adalah lebih telus kerana ia termasuk dalam resit dan menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan (SST) pada kadar 6 dan 10 peratus yang dikutip kastam sebelum.ini.

Ahmad turut mencabar pihak pembangkang yang menentang implementasi GST ini kerana menyokong cukai SST yang dakwanya disembunyikan dan ditambah kosnya kepada pembeli dan mampu menjadikan nilai eksport Malaysia lebih berdaya saing di pasaran dunia.

"Sekarang GST tak ada cukai eksport. Kita lebih berdaya saing kerana barangan eksport kita jadi lebih murah. Inipun pembangkang tak mahu.

Beliau turut menjelaskan betapa sebahagian golongan peniaga lari daripada membayar cukai dan beroperasi di bawah ekonomi terselindung dan menjejaskan pendapatan kerajaan.

"Ekonomi terselindung ini besar. Ikut data ada kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Kenapa pembangkang tak setuju? Adakah mereka ini bersekongkol dengan golongan yang lari daripada cukai?" soal beliau.

Ahmad turut menempelak kenyataan mereka yang berkata kerajaan gagal menangani masalah kenaikan kos hidup di Malaysia.

Menurut beliau kerajaan telah berusaha dan memberi penekanan kepada aspek pendidikan, kemahiran dan perniagaan bagi memastikan pendapatan rakyat bertambah kerana fenomena kenaikan kos hidup berlaku di seluruh dunia.

"Tolong bagitau saya negara mana yang harga barangnya turun, kos hidupnya turun.Saya nak pergi pakai tambang sendiri nak belajar. Tak jumpa, tuan puan.

"Yang saya jumpa hanya Malaysia. Sebab minyak murah seludup Thailand dan Indonesia. Barang kita lebih murah dari Singapura jadi mereka shopping di sini," kata beliau.

ADS