Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR tak senang, peratus keluar mengundi kurang
Diterbitkan:  May 31, 2014 9:30 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan mencatatkan peratusan keluar mengundi kedua terendah selepas lima kali PRK diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau juga tidak gembira dengan pengurangan lebih 8,000 pengundi berbanding jumlah pengundi yang keluar pada PRU-13. 

"Kita tidak tahu mengapa peratusan keluar mengundi rendah. Kami perlu kaji. Bagaimanapun, ia adalah proses demokrasi," katanya dalam sidang media di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Teluk Intan, hari ini.

PRK Teluk Intan mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 66.67 atau 40,236 pengundi termasuk pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi tidak hadir.

Pada PRU-13, sebanyak 80.7 peratus atau 48,839 orang telah keluar mengundi.

Sebelum ini, PRK Bukit Gelugor mencatatkan jumlah keluar mengundi 56 peratus, PRK Kuala Besut (82), PRK Sungai Limau (85), PRK Balingian (72) dan 72.1 peratus di PRK Kajang.

Abdul Aziz berkata pusat mengundi yang mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi adalah di Sekolah Kebangsaan Sungai Kerawai iaitu 76 peratus, manakala Sekolah Kebangsaan Ulu Bernam terendah dengan 45.78 peratus.

Beliau turut mengingatkan mana-mana parti politik yang menang pada malam ini supaya tidak mengadakan perarakan kemenangan di sekitar kawasan Teluk Intan.

"Saya harap pemimpin parti telah ingatkan penyokong mereka mengenai perkara ini," katanya.

Calon BN Datuk Mah Siew Keong ditentang calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud pada PRK Teluk Intan.

Keputusan dijangka dapat diumumkan kira-kira 9 malam ini.

- Bernama

ADS