Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pengetua sekolah menengah dan dua anak lelakinya maut setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang dinaiki lima beranak terbabas di Kilometer 107.9 Lebuhraya Pantai Timur dekat Temerloh, lewat petang semalam.

    

Dalam kejadian pada jam 7.57 petang itu, Nor Hayati Mohd Ghazali, 56, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi di sini dan anak lelakinya Muhammad Amirul Afiq Hamdan, 17 terbunuh di tempat kejadian setelah tercampak keluar daripada kenderaan berkenaan.

    

Seorang lagi anaknya, Muhammad Amirul Hakeem Hamdan, 14, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

    

Pegawai Penguatkuasa Trafik dan Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata suami Nor Hayati, Hamdan Wahidin, 55, dan seorang lagi anak mereka yang dipercayai memandu MPV itu, Muhammad Asyraf Naqiuddin Hamdan, 19, turut cedera parah dan kini dirawat di Hoshas.

    

Ketika kejadian, mangsa sekeluarga yang tinggal di Lorong Sekilau, Taman Mahkota Bukit Sekilau, Kuantan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuantan, katanya kepada Bernama hari ini.

"MPV tersebut dipercayai telah terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tebing dan akibat kejadian itu dua mangsa telah tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menambah keseluruhan bahagian MPV terbabit mengalami kerosakan teruk.

    

Difahamkan Nor Hayati mempunyai pertalian kekeluargaan dengan bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Mohamed Ghazali.

    

Zainalabidin berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian keadaan cuaca baik, jalan yang kering namun gelap kerana tiada lampu jalan di kawasan itu.

    

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

    

Sementara itu SMK Sungai Soi yang dihubungi memaklumkan jenazah tiga beranak itu telah dibawa ke Damansara untuk dikebumikan.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS