Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah tentera meminda lima daripada tujuh pertuduhan ke atas Mejar Zaidi Ahmad berhubung dakwaan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13.

Ia melibatkan pindaan lokasi kesalahan dalam pertuduhan pertama dan kedua dan pertukaran seksyen untuk pertuduhan pertama sehingga kelima.

Pindaan bagi pertuduhan pertama dan kedua menyaksikan tempat kesalahan didakwa dilakukan Mejar Zaidi ditukar daripada "perkarangan balai polis IPD Kepala Batas..." kepada "perkarangan surau balai polis IPD Kepala Batas... ".

Tuduhan pertama dan kedua kini dibaca sebagai "di perkarangan surau balai polis IPD Kepala Batas pada 1 Mei 2013 melanggar Perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961, Discipline and Security - Communication of Information and Publication of Articles by Members of the Armed Forces," bawah perenggan 5 dan perenggan 13.

Pertuduhan yang pada asalnya dibuat mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 dipinda kepada Seksyen 51 akta sama, bagi semua lima pertuduhan.

Pindaan dibuat selepas peguam mengemukakan bantahan pada sidang mahkamah pada April lalu.

Zaidi, juruterbang tentera udara sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memberi kenyataan media berkenaan isu dakwat kekal dan menghantar SMS berbaur politik dan hasutan.

Mahkamah akan bersidang semula esok selepas pihak pendakwa memohon masa untuk memanggil saksi-saksi.

Pendakwaan dilakukan Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Kes didengar di hadapan Kolonel Saadon Hasnan yang bertindak selaku yang dipertua mahkamah bersama lima ahli mahkamah terdiri daripada Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Mejar Zaidi pula diwakili oleh Hanipa Maidin.

ADS