Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata dakwaan bahawa beliau muflis kemungkinan dibuat ekoran kelantangannya menggerakkan bantahan terhadap kenaikan cukai pintu di negeri Pantai Timur itu.

Beliau turut mengulangi penafian menjadi muflis setelah membuat semakan dengan peguamnya.

“Saya juga tertanya-tanya apa motif (dakwaan itu dibangkitkan). Saya mungkin boleh buat kesimpulan bahawa ia melibatkan kes terkini iaitu mungkin kes kenaikan cukai pintu yang naik hingga 800 dan 1,000 peratus.

"Saya tidak tahu apa isunya (yang sebenar). Saya tidak berniaga-niaga besar-besar. Saya ambil upah sebagai perunding (pembinaan).

"Saya ada resort hanya 20 pintu sahaja. Tidak ada pinjaman besar-besaran," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Mengulas bantahan kenaikan cukai itu, Raja Bahrin berkata beliau telah menggerakkan ramai orang berhimpun di Kuala Terengganu, termasuk mengetuai sembilan wakil rakyat dalam parlimennya dan Kuala Nerus, menyerahkan memorandum kepada datuk bandar Kuala Terengganu.

Malah katanya, pihaknya juga membuka kaunter mengutip tandatangan demi membantah kenaikan cukai itu termasuk penyokong Umno dan pengundi atas pagar.

"Saya rasa inilah yang membuatkan Umno rasa tidak puas hati kerana kita cuba memberi pengetahuan kepada rakyat.

“Kita beri joran kepada rakyat (untuk cari makan) bukan beri ikan," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan dakwaan itu dibangkitkan untuk mengalih pandangan melibatkan masalah dalaman Umno ekoran pertukaran menteri besar Terengganu, bulan lalu.

ADS