Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekalan air Empangan Timah Tasok untuk pertanian dihentikan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis yang mengendalikan Empangan Timah Tasoh di Beseri dekat Kangar menghentikan bekalan air dari empangan itu ke sawah padi tahun ini dan menyimpan air untuk keperluan domestik sebagai langkah persediaan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka bermula dari bulan ini ini hingga September hadapan.

    

Sehubungan itu, Pengarahnya, Nishad Mohamed CJ Mohd. Shaffy berharap para petani yang selama ini menerima bekalan air empangan berkenaan bagi penanaman padi dua kali setahun di sawah mereka yang berada di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), utara Perlis memahami sebab sebenar mengapa air empangan tidak disalurkan ke sawah mereka.

    

"Apa yang difikirkan adalah keperluan domestik lebih penting untuk minuman kepada penduduk di negeri ini sementara air dalam sawah di kawasan-kawasan terbabit boleh diperolehi melalui air hujan yang diramal akan turun di kawasan-kawasan tertentu," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Nishad berkata, bekalan air dalam Empangan Timah Tasoh sekarang hanya berada pada tahap 56 peratus dari kadar takungan sebenar, iaitu 40 juta meter padu dan jika dialirkan ke sawah, simpanan air dalam empangan mampu bertahan selama dua bulan sahaja tetapi sekiranya dihentikan bekalan untuk pertanian, air yang disimpan itu dijangka boleh bertahan hingga lima bulan.

    

Katanya, bekalan air ke sawah terpaksa dihentikan lebih awal kerana pihak JPS mendapati takungan air di dalam empangan kini berada pada paras 27.59 meter berbanding paras biasa pada 29.1 meter.

Beliau meminta penduduk di negeri ini turut memberi kerjasama bagi memastikan bekalan air khusus untuk keperluan domestik mencukupi dengan menjimatkan penggunaannya dan mengguna air bagi tujuan-tujuan penting sahaja.

    

Empangan Timah Tasoh membekalkan 40 peratus keperluan air kepada penduduk di negeri ini khusus di kawasan Perlis utara sementara 60 peratus lagi penduduk di Perlis selatan menerima bekalan air dari terusan MADA.  

    

Mengenai tahap kebersihan air empangan setelah empangan terbabit digunakan sebagai salah satu venue acara sukan perahu layar dan kanu sempena Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 baru-baru ini, beliau memberi jaminan air empangan tidak tercemar kerana venue yang digunakan adalah di kawasan buangan air sementara perahu layar dan kanu tidak menggunakan minyak.

    

Nisyad berkata, pihak JPS negeri akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya memikirkan satu kaedah menghubungkan empangan-empangan berhampiran seperti Empangan Timah Tasoh di Perlis dengan Empangan Pedu di Kedah agar masing-masing boleh bantu membantu jika berlaku kekurangan paras takungan air.

    

Di samping itu, kajian sedang dibuat untuk membolehkan Perlis mendapat sumber air bawah tanah selain air empangan atau terusan kerana maklumat yang diperolehi menunjukkan satu pertiga kawasan utara negeri ini mempunyai banyak sumber air bawah tanah.

    

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perlis, Shaidan Nordin yang mengetuai agensi yang bertanggungjawab mengendalikan persawahan di luar kawasan MADA mengakui hampir 7,500 hektar sawah padi yang diusahakan oleh kira-kira 10,000 petani di kawasan terbabit tidak mendapat bekalan air dari Empangan Timah Tasoh tahun ini.

    

Katanya, kebiasaannya sekarang para petani di kawasan berkenaan sudah memulakan kerja-kerja persawahan mereka untuk musim pertama sejak April lepas tetapi disebabkan air empangan tidak dilepaskan, mereka tidak dapat memulakan kerja-kerja itu.

    

Dengan pengumuman pihak JPS tidak akan melepaskan air sepanjang tahun ini, sudah pasti tanaman musim kedua tahun ini yang kebiasaannya bermula bulan September juga tidak dapat dilaksanakan dan akan menyebabkan pendapatan para petani terjejas di samping mengurangkan pengeluaran beras negara.

    

Shaidan berkata, jika bekalan air dalam sawah mencukupi, kawasan penanaman padi di bawah pengendalian LPP mampu menghasilkan pengeluaran padi lebih 30,000 metrik tan semusim atau melebihi 60,000 metrik tan setahun bagi kerja-kerja persawahan dua musim.

    

"Namun dengan ketiadaan bekalan air ke sawah menyebabkan pengeluaran padi bagi kawasan terbabit tahun ini dijangka akan berkurangan separuh dari pengeluaran biasa," katanya kepada Bernama hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Paya, Had Bakar, 61 pula merayu pihak JPS menimbang semula keputusan menghentikan bekalan air ke sawah di luar kawasan MADA kerana terdapat setengah kawasan sawah sudah dibajak dan menunggu bekalan air untuk ditabur biji benih.

    

Seorang lagi petani yang ditemui, Md Isa Abdullah, 56 dari Kampung Belukar, Beseri bimbang jika bekalan air terus tidak dilepaskan akan menjejaskan projek tanaman padi berkelompok di kampung tersebut yang digalakkan oleh kerajaan selama ini.

    

Salleh Ariffin, 71 dari Kampung Alor Tampang, Paya berkata, beliau terpaksa beralih kerja mengambil upah menoreh getah untuk menampung pendapatan apabila sawah padinya tidak dapat diusahakan akibat ketiadaan bekalan air.

- Bernama

ADS