Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelakon Abby Abadi sah cerai talak satu
Diterbitkan:  Jun 11, 2014 9:00 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

Pelakon Abby Abadi dan suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar sah bercerai talak satu.

    

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur Kuala Lumpur mensabitkan lafaz cerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dibuat suami Abby, 9 Mei lepas.

    

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin berkata mahkamah berpuas hati bahawa lafaz tersebut memenuhi rukun dan syarat sah talak mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

    

Bagaimanapun, bagi lafaz cerai pertama pada Januari lalu yang dihantar Muhammad Noor Farhan melalui SMS kepada rakannya, mahkamah tidak mensabitkan lafaz jatuh talak.

    

"SMS itu dihantar oleh plaintif (Muhammad Noor Farhan) pada Januari 2014 adalah tidak sah, tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat talak," kata hakim.

    

Ini merupakan perceraian kali kedua Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 37, selepas perkahwinannya kali pertama dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002.

    

Mereka bercerai pada 18 September 2008.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 10; Marissa Dania Hakim, 8; dan Maria Danisha Hakim, 5.

    

Abby dan Muhammad Nor Farhan, 25, bernikah di Selatan Thailand pada 9 Julai tahun lepas dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Kelantan.

    

Terdahulu, ketika ditanya mahkamah, Muhammad Noor Farhan berkata beliau tidak mempunyai niat ketika melafazkan cerai kali pertama tetapi berniat demikian bagi lafaz kali kedua.

    

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Abby berkata beliau redha dengan keputusan itu dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah.

    

- Bernama

ADS