Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Demo 23 Jun bantah tindakan DBKL
Diterbitkan:  Jun 17, 2014 3:00 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

PAS akan mensasarkan sekurang-kurangnya 2,000 orang hadir ke perhimpunan pada 23 Jun untuk membantah perobohan rumah penduduk Kampung Chubadak Tambahan.

Laporan Harakahdaily menyebut, perhimpunan itu bagi membantah "tindakan zalim" Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meneruskan perobohan tanpa menghiraukan injunksi yang diperolehi penduduk.

"Kita mengecam tindakan DBKL, walaupun kes ini masih lagi dalam proses mahkamah mereka tetap meroboh rumah tersebut.

"Sehingga sekarang tiga buah rumah telah diroboh, (ini) sikap yang tidak bertanggungjawab dan zalim DBKL apatah lagi bulan Ramadan hampir tiba," jelasnya.

Beliau turut meluahkan kerisauannya terhadap rumah penduduk lain sambil menyeru rakyat yang prihatin hadir memberi sokongan.

Perhimpunan yang dijadual berlangsung depan DBKL dianjurkan Pertahankan Kampung Tradisi dan Warisan Bangsa & Peneroka Bandar (Anak Warisan) dengan kerjasama Lajnah Tanah PAS Pusat.

Sementara itu, laporan itu juga menyebut Pengerusi Anak Warisan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menegaskan isu kampung warisan menjadi tanggungjawab semua dan perlu dipertahankan.

Katanya, tindakan DBKL mahu merobohkan rumah penduduk di kampung itu dianggap membelakangi prosiding dan menghina mahkamah.

"Tindakan DBKL meroboh adalah dilihat tidak bertanggungjawab dan menghina mahkamah. Ini merupakan satu malapetaka kepada penduduk kampung tersebut," katanya.

Pihaknya akan menyerahkan satu memorandum hasil perbincangan dengan penduduk pada himpunan itu kelak dan berharap DBKL tidak melakukan kerja meroboh sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri.

ADS