Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN: Kuasa eksekutif MAIS melalui pindaan 2003

ADUN PAS Saari Sungib berkata pindaan boleh dilakukan ke atas peruntukan yang memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memberi arahan ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam (Selangor) itu akan membolehkan JAIS hanya menerima arahan daripada Exco dan kerajaan negeri bawah Sultan Selangor dan bukannya dari entiti lain.

Jelasnya, pertindihan kuasa itu berpunca dari satu pindaan pada tahun 2003, yang menetapkan pengarah JAIS secara automatik dilantik sebagai setiausaha MAIS.

Pindaan ke atas Seksyen 16 (2) dan 16(3) itu menyebabkan pengarah JAIS perlu menurut dan melaksana arahan MAIS, katanya.

"Dalam enakmen, Pengarah JAIS secara automatik dilantik sebagai Setiausaha MAIS.

"Dari segi undang-undang yang saya faham (sepatutnya) semua jabatan di bawah kerajaan negeri.

"Saya mempertahankan pendapat bahawa JAIS sepatutnya berada di bawah kerajaan negeri," kata beliau kepada Malaysiakini hari ini.

Peruntukan Seksyen 16(2) menyebut:

"Setiausaha hendaklah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dan Pentadbir Majlis dan hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan dasar-dasar dan ketetapan-ketetapan Majlis."

Peruntukan Seksyen 16(3) pula menetapkan:

"Tertakluk kepada apa-apa arahan yang diberikan oleh Pengerusi kepadanya, Setiausaha hendaklah bertanggungjawab ke atas semua surat-menyurat dan dokumen Majlis, dan hendaklah dalam apa-apa hal lain menjalankan tugas-tugas yang dikenakan ke atasnya oleh Enakmen ini atau yang diberikan kepadanya oleh Pengerusi."

Saari berkata demikian bagi menyokng saranan dari empat MP PAS dari Selangor menggesa kerajaan negeri agar meminda undang-undang untuk menghapus kuasa eksekutif MAIS, agar JAIS tidak menerima arahan daripada majlis itu lagi.

Dalam sidang media bersama di lobi parlimen hari ini, mereka berkata MAIS adalah institusi yang dilihat rapat dengan Sultan Selangor.

"Institusi yang rapat dengan Sultan tidak boleh dilihat mempunyai kuasa eksekutif.

"Ia akan mencemarkan institusi (Istana) itu sendiri," kata ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

ADS