Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang hari ini atas tuduhan menghasut melalui satu tulisan kontroversi yang mengaitkan pendatang Cina dengan pencerobohan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 bagi tuduhan menyebut perkataan menghasut, dan satu lagi tuduhan pilihan mengikut Seksyen 4(1)(c) untuk kesalahan menerbitkan perkataan menghasut.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat ISMA di Bandar Baru Bangi pada 6 Mei lalu, melalui penerbitan satu rencana di laman web ISMA.

Rencana bertajuk "Kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British satu bentuk pencerobohan" didakwa diterbitkan laman web ISMA pada tarikh sama.

Mahkamah merekod pengakuan tidak bersalah dari Abdullah Zaik, dan membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Hakim Mahkamah Sesyen Kajang, Nor Hazani Hamzah menetapkan kes itu disebut pada 18 Julai depan.

Beliau juga mengarahkan Abdullah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Bagi tuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b), Abdullah Zaik dituduh menyebut perkataan menghasut sekitar jam 10 pagi pada 6 Mei 2014 dengan menyebut kenyataan bahawa:

  • Menyifatkan kedatangan pendatang Cina ke Tanah Melayu bersama penjajah British suatu ketika dahulu adalah satu bentuk pencerobohan
  •  Orang Cina datang ke negara ini bersama penjajah British sebagai penceroboh
  • Siapa yang bagi mereka hak kerakyatan dan kekayaan sehingga hasil pencerobohan mereka dilindungi sampai hari ini
  • Itu semua perbuatan British yang bersekongkol dengan Cina dalam menindas dan membuli orang Melayu.
Jika disabit mana-mana kesalahan, Abdullah Zaik berdepan hukuman di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Hukumannya bagi kesalahan pertama, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohon kurang jaminan

Bagi kesalahan berulang pula, pesalah boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun.

Peguam Abdullah, Haezreena Begum Abdul Hamid dalam mitigasinya memohon jaminan dikurangkan atas alasan Abdullah bekerja sebagai presiden ISMA sepenuh masa dan menyara sembilan orang anak berumur di antara 24 sehingga 9 tahun yang semuanya masih belajar.

"Kerja OKT (orang kena tuduh) hanyalah presiden ISMA di mana ISMA ini hanya NGO dan hanya memperolehi pendapatan melalui sumbangan kerja amal dakwah Islam dan kemasyarakatan.

"Isteri beliau pula seorang tenaga pengajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

"Dakwaan ini agak keras dan akta ini dari zaman kolonial, dan PM juga akan menggantikan akta ini dengan National Harmony Act," katanya.

Permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh Hakim Nor Hazani Hamzah.

Turut mewakili Abdullah Zaik adalah peguam Mohd Khannis Jusoh sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup dan Mohd Abazfaree Mohd Abas.

Sebelum itu, ahli ISMA berkumpul di luar kawasan Kompleks Mahkamah Kajang sejak jam 8.30 pagi, menunggu ketibaan Abdullah Zaik.

Lima belas minit kemudiannya, Abdullah Zaik tiba mahkamah bersama isterinya Nor Saleha Mohd Salleh terus bertegur sapa dengan ahli ISMA yang menunggu beliau.

Mereka kemudiannya menuju ke Mahkamah Sesyen yang terletak di tingkat 9.

Abdullah Zaik memasuki kamar mahkamah pada jam 9 pagi, diikuti oleh isteri dan ahli ISMA yang lain.

ADS