Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

dikemaskini Peguam Zulkifli Noordin berkata keputusan mahkamah menolak rayuan pengarang The Herald hari ini "memperkuatkan" lagi pendapat bahawa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhak menyita naskhah Bible berbahasa Melayu.

Menurutnya keputusan itu akan memberi implikasi besar khususnya di negeri yang menguatkuasa undang-undang menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah tertentu.

"Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mempunyai implikasi agak bagus dari segi penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam.

"Ini bermakna tindakan MAIS betul dan mereka boleh rujuk keputusan ini," kata bekas MP Kulim-Bandar Baru itu ketika ditemui di bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Zulkifly yang juga bekas Naib Presiden Perkasa berkata ini menunjukkan MAIS kini mempunyai sebab kuat bagi mendapatkan perintah Mahkamah bagi melupuskan barang rampasan mereka itu.

"Keputusan ini juga menunjukkan enakmen yang digunakan JAIS ke betul," tegas beliau.

Beliau merujuk kepada keputusan MAIS untuk tidak memulangkan naskhah Bible yang dirampas agensinya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) Januari lalu.

'Sultan hanya rujuk prosedur'

Zulkifli juga berpendapat, pendirian MAIS itu tidak bertentangan dengan titah Sultan Selangor yang mahu isu pemulangan Bible diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berpendapat, keputusan MAIS itu berdasarkan kepada “hakikat” bahawa kalimah Allah sememangnya tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Titah Sultan Selangor pula hanya merujuk kepada “prosedur” untuk menyelesaikan kes tersebut di mahkamah, katanya.

"Titah tuanku langsung tak sentuh tentang hakikat kes. Titah tuanku hanya sentuh prosedur,” katanya.

Beliau turut ditanya sekiranya keputusan mahkamah hari ini bermaksud kalimah “Allah” tidak boleh diguna oleh orang bukan Islam sama sekali, kerana senikata lagu negeri Selangor sendiri mengandungi kalimah tersebut.

Zulkifly berkata orang bukan Islam di Selangor tidak perlu gusar kerana enakmen Selangor itu dengan jelas menyatakan bahawa kalimah yang tidak berkaitan dengan upacara keagamaan tidak melanggar sebarang larangan.

"Seksyen 9 (Enakmen agama Islam Selangor) dengan jelas menunjukkan penggunaan Allah hanya untuk perkara keagamaan. Lagu Selangor itu tak ada masalah, " kata beliau.

ADS