Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anak bekas ketua menteri Sarwak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib hari ini memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya memfailkan perceraian secara damai terhadap bekas isterinya selepas 12 tahun tidak tinggal bersama kerana enggan melihat bekas isterinya itu susah hidup bersendiri.

"Saya tak mahu dia terkapai-kapai dan tidak mempunyai suami kerana saya tak pulang (ke rumah di Damansara)," katanya sewaktu memberi keterangan dalam kes tuntutan mutaah RM100 juta terhadap beliau oleh bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid.

Pada ketika ini, Bekir terpaksa memberhentikan ucapannya apabila mata beliau digenangi air mata dan wajahnya kelihatan merah menahan sebak.

Pada 3 Jun lalu, Bekir memberitahu mahkamah yang beliau dan Shahnaz bernikah pada 9 Januari 1992.

Beliau juga memberitahu mahkamah yang mereka bercerai pada tahun 11 Mei 2011 tetapi mula tinggal berasingan sejak tahun 1999 kerana Shahnaz kuat cemburu dan pernah cuba mencakar beliau.

Bagaimanapun, Bekir membelikan sebuah banglo, tiga buah kereta mewah, serta nafkah kewangan untuk Shahnaz sepanjang tempoh mereka tidak tinggal bersama.

Tolak soalan status dara Shahnaz

Perbicaraan hari ini juga menyaksikan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menolak soalan yang menjurus kepada kenyataan tentang status dara Shahnaz pada malam pernikahannya dengan Bekir.

Peguam bela Bekir, Datuk Seri Zainul Rijal Abu Bakar meminta Bekir menjelaskan di antara sebab-sebab Bekir menolak tuntutan mutaah RM100 juta oleh Shahnaz terhadap dirinya.

"Apakah alasan-alasan lain penolakan tuntutan mutaah yang dibuat terhadap Datuk Seri (Bekir)?," tanya Zainul Rijal kepada anak guamnya itu.

Soalan itu menyebabkan Bekir menjelaskan tentang status dara Shahnaz pada malam mereka bernikah pada 9 Januari 1992 sebagai salah satu alasan penolakan tuntutan itu.

Soalan dan jawapan itu bagaimana pun dibantah peguam Shahnaz, Dr Rafie Mohd Shafie dan Akbardin Abdul Kader.

"Saya tak setuju dan membantah. Tiada rekod perubatan dan (ia) tak pernah disoal sebelum ini.

"Ini soalan yang tidak adil dan bertujuan remeh untuk mengaibkan plaintif (Shahnaz)," kata Dr Rafie.

Akbardin dalam hujahnya pula meminta hakim melarang media dari melaporkan soalan tersebut.

"Pada hari ini senanglah defendan cakap sebab plaintif dah habis beri keterangan.

"Mereka cuba nak aibkan plaintif.

"Mereka tak pernah menyoal plaintif tentang fakta ini, mereka boleh cakap macam-macam tetapi yang perlu jawab adalah plaintif," hujahnya.

Hakim Mohamad Abdul Karim Abdul Wahab menerima bantahan itu namun menegaskan yang larangan ke atas media untuk melaporkan perkara itu di luar bidang kuasanya.

"Mahkamah menerima bantahan kerana mahkamah bukanlah satu tempat untuk satu pihak membuka keaiban pihak yang satu lagi.

"Ini mahkamah terbuka dan saya tak boleh nak halang apa yang media laporkan.

"Nama saya pun ada yang media salah tulis," katanya mengundang ketawa kecil daripada hadirin di galeri awam.

Sebelum itu, mahkamah turut ketawa kecil apabila Hakim Abdul Karim meminta Bekir menjelaskan status 'bujang' Shahnaz sewaktu dinikahinya.

Menurut Hakim Abdul Karim, seorang wanita 'bujang' di tempat asalnya di Kelantan merujuk kepada seorang janda.

"Jadi 'bujang' ini maksudnya belum pernah bernikah ya?

"Sebab di Kelantan, perempuan 'bujang' ini maksudnya dia janda," kata beliau kepada Bekir.

ADS