Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ancaman seorang pemimpin PERKASA untuk “memancung leher” pihak yang didakwa memperkotak-katik agama dan memperlekeh sultan boleh menjadi kesalahan bawah rang undang-undang (RUU) baru untuk menggantikan Akta Hasutan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) Lim Chee Wee berkata, RUU Jenayah Kebencian Bangsa dan Agama yang disiapkan mereka jelas menyatakannya.

Ia, katanya lagi, merangkumi kesalahan “memberi ucapan kebencian dengan niat untuk mengugut atau menyebabkan kecederaan kepada individu atau kumpulan lain” dengan asas agama atau bangsa.

Bagaimanapun Lim ( gambar sebelah, kanan sekali ) turut menyatakan, bawah RUU sama ucapan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali untuk membakar kitab Bible tahun lalu mungkin tidak menjadi kesalahan kerana ia tidak mengugut atau mencederakan komuniti lain.

"Tindakan PERKASA mengugut untuk memancung kepala itu boleh jadi kesalahan bawah akta baru ini kerana ia jelas mengugut mahu mencederakan.

"Bagaimanapun dalam isu Bible itu ucapan itu tidak menyatakan untuk mencederakan sesiapa. Kecualilah beliau berkata mahu memecah masuk rumah dan merampas Bible milik orang lain sebelum membakarnya," kata beliau dalam sesi penerangan RUU Harmoni kepada media hari ini.

Lim memberi contoh penggunaan RUU untuk menggantikan Akta Hasutan yang disifatkan sebagai mempunyai julat (threshold) yang rendah menyebabkan seseorang boleh didakwa dengan mudah tanpa perlu membuktikan niat mereka.

Beliau memberi contoh kes MP dari Sabah Mark Koding pada 1982 yang didapati bersalah mengeluarkan ucapan bersifat hasutan walaupun hakim mengakui niat beliau baik dan bersebab.

"Dalam akta Hasutan tidak timbul soal niat anda itu baik atau tidak. Dan tidak timbul soal ia mengancam orang lain atau tidak," kata beliau.

Koding dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 1978 mempersoalkan polisi kerajaan berhubung sekolah vernakular yang menurut pendapatnya tidak membantu keharmonian kebangsaan.

Pada 11 Julai 2012 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme menentukan keseimbangan terbaik antara menjamin kebebasan bersuara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan di negara ini.

Lim bersama ahli jawatankuasa MPKN hari ini membentangkan draf RUU Jenayah Pembencian Kaum dan Agama, RUU Akta Keharmonian dan Rekonsiliasi Kebangsaan serta RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Kebangsaan di hadapan wakil media di pejabat MKPN hari ini.

Lim berkata MKPN turut masih membincangkan hal penambahbaikan RUU ini dengan pelbagai pihak termasuk pengkritiknya seperti Majlis Perundingan Melayu (MPN) dan PERKASA.

Beliau berkata antara hal lain dalam perbincangan adalah memasukkan perkataan tertentu termasuk isu kalimah eksklusif untuk orang Islam.

"Ada beberapa pihak yang mahu memasukkan perkataan tertentu dalam RUU ini. Ia masih dalam perbincangan," kata beliau tanpa huraian lanjut.

Sementara itu seorang lagi anggota majlis itu Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan objektif khusus ketiga-tiga RUU itu, seperti berikut:

(1) Menjadikan ucapan pembencian berasas agama dan kaum sebagai kesalahan jenayah.

(2) Menegakkan kesaksamaan dan menghapuskan diskriminasi tidak adil berasaskan agama, kaum, keturunan tempat lahir, jantina atau orang kelainan upaya.

(3) Menyediakan forum atau mekanisme menyelesaikan isu diskriminasi tidak adil dengan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

Saifuddin berkata setakat RUU ini telah diterima baik oleh masyarakat dan sebarang kritikan terhadapnya bukanya pada persoalan pokok dan substantif seperti konteks dan prosedur.

Malah ini adalah pertama kali RUU dibuat dan dibincangkan secara terbuka di hadapan awam.

Beliau berkata semua pihak boleh membaca RUU ini di laman sesawang MKPN di www.nucc.my.

ADS