Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera ke atas pegawai tinggi kerajaan yang didakwa hidup mewah melampaui daripada gaji yang diperolehi.

Tanpa menamakan individu terbabit, Ibrahim berkata tindakan juga perlu diambil untuk mengelakkan pihak berkenaan terlepas dari dakwaan rasuah.

Beliau mencadangkan agar tindakan dikenakan ke atas seorang pesara kerajaan yang didakwanya tinggal di sebuah rumah mewah, yang tidak setimpal dengan gaji yang diperolehi individu tersebut.

"Dia yang sepatutnya menjadi sasaran SPRM. Dia yang perlu diambil tindakan.

"SPRM perlu memikirkan bagaimana nak tangani (perkara ini). Jangan (berdolak dalik), tangkap.

"Ini yang saya tidak puas hati dan geram," katanya dalam sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini.

Seruan tersebut merupakan sebahagian dari resolusi yang diputuskan dalam satu persidangan meja bulat antara PERKASA dengan wakil gabungan NGO Majlis Tindakan Ekonomi Melayu di ibu negara.

Persidangan berkenaan hari ini menyentuh mengenai dasar kerajaan yang didakwa menghalang pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

Sebelum itu, ahli politik veteran itu menyuarakan kebimbangan susulan rungutan kekurangan ruang perniagaan kepada bumiputera di KLIA2 walaupun beliau dimaklumkan sebanyak kouta 35 peratus telah diperuntukan kepada kumpulan itu.

"Kita (bimbang), cakap beri kepada bumiputera, tapi orang lain yang dapat. Mungkin individu itu dapat 2 atau tiga kedai, dia tak niaga, tapi beri sewa kepada orang lain.

"Dan penyewa itu tak semestinya bumiputera. Kita tidak puas hati. Kita nak tahu secara terperinci (mengenai perkara itu)," katanya denga nada tegas.

Dalam sidang media yang sama, Naib Presiden PERKASA Dr Zubir Harun berkata NGO itu akan mengadakan beberapa lagi siri persidangan seumpama itu bersama pertubuhan ekonomi Melayu dari masa ke semasa.

"Dan kemuncak dari ini PERKASA akan mengadakan konvensyen bagi menetapkan halatuju dan KPI kementerian, agensi dan GLC pada 14 september 2014," katanya.

ADS