Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan rayuan

Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini menangguhkan keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) atas pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

    

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel lima anggota hakim menangguhkan keputusan kepada tarikh yang akan diumumkan kemudian selepas pihak pendakwaan dan pembela mengakhiri hujah hari ini.

    

Panel yang juga disidangi oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop, mendengar hujah dalam rayuan itu selama tiga hari mulai Isnin.

    

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri, 37, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, atas pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi hari berikut pada 2006.

    

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos, tahun lepas membenarkan rayuan oleh kedua-dua anggota polis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia itu dan menjatuhi hukuman mati ke atas kedua-dua mereka.

    

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersuhabat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas (Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadapnya. Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasannya.

    

Dalam prosiding hari ini, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar berhujah bahawa anak guamnya telah dijadikan 'kambing hitam.'

    

Hakim Arifin kemudian berkata: "jika dia dijadikan kambing hitam, dia tentu dapat memberitahu mengapa dan oleh siapa. Semua orang akan berkata begitu. Kamu tidak boleh berkata bahawa kamu dijadikan kambing hitam tanpa sebab."

    

Kamarul Hisham berkata ada dua sebab seseorang dijadikan kambing hitam - yang pertama apabila seseorang menganiayai orang itu dan yang kedua bukti terhadap orang itu dipalsukan oleh polis.

    

"Anak guam saya menyatakan bahawa bukti dipalsukan terhadapnya dan menambah bahawa Sirul Azhar tidak tahu mengapa dia menjadi sasaran," kata beliau.

    

Kamarul Hisham berkata orang sebenar yang melakukan jenayah tidak dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

    

Beliau berkata selepas polis mengesyaki Sirul Azhar berdasarkan beberapa bukti, mereka boleh memalsukan lebih banyak bukti.

    

Kamarul Hisham juga berkata Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul apabila memutuskan bahawa hakim Makamah Tinggi telah tersalah arah apabila tidak mempertimbangkan isu niat bersama untuk melakukan pembunuhan walaupun beliau mendapati kedua-dua mereka bersalah atas pertuduhan membunuh.

    

Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan Sirul Azhar keluar dari plaza tol menuju Kota Damansara tidak membuktikan penglibatannya kerana kerana dia biasanya melalui jalan itu untuk pulang ke rumahnya di Jalan Semarak.

    

Beliau juga berkata kehadiran Sirul Azhar bersama Azilah di kediaman Abdul Razak dan di Hotel Malaya, tempat penginapan Altantuya, ialah kerana menjalankan tugas sebagai anggota polis.

Dalam hujah balas, Timbalan Peguamcara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata ada keterangan mengikut keadaan yang menunjukkan penglibatan kedua-dua mereka dalam jenayah itu.

    

Beliau berkata alibi Azilah bahawa dia berada di Wangsa Maju ditolak berdasarkan bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan melalui log panggilan yang menunjukkan dia berada di Bukit Aman dan kemudian ke kediaman Abdul Razak.

Tun Majid berkata siasatan polis juga menunjukkan bahawa Altantuya dibawa menaiki kereta Sirul Azhar dan menambah bahawa barang kemas wanita itu juga dijumpai dalam jaket hitam Sirul Azhar.

    

- Bernama

ADS