Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali mendesak supaya Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dipecat berhubung kenyataannya dalam temubual bersama akhbar mingguan The Edge .

Dalam temubual dengan akhbar mingguan berkenaan, Shamsul antara lain dilaporkan berkata, hasil minyak dan gas di negara ini bukan milik Bumiputera tetapi milik seluruh rakyat Malaysia tidak kira sama ada pihak kerajaan atau pembangkang.

Justeru, Ibrahim berkata, beliau turut mencabar Shamsul untuk bersemuka dengannya bersama Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bagi membincangkan perkara tersebut.

"Kalau dia pertahankan (kenyataannya) berdasarkan dia punya temubual, kita telah bersedia untuk bersemuka dengan dia secara profesional tetapi kena secara langsung.

"Dia bising buat apa. Kalau dia bising tak puas hati berhenti sahajalah. Biar orang lain yang ambil alih," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PERKASA petang tadi.

Sementara itu, Ketua Kluster Minyak dan Gas MTEM, Tengku Putra Tengku Ahmad berkata, beliau turut mempertikaikan kenyataan Shamsul yang mengatakan bahawa Bumiputera tidak disebut di dalam Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974

Menurutnya, Akta tersebut dibaca bersama Perlembagaan Negara perkara 153.

"PDA 1974 ialah berangkai dengan Perlembagaan Negara 153. Hak istimewa orang Melayu tak boleh dipertikaikan. Walaupun tak diletak pada PDA, tapi dia mesti faham, dia dipilih oleh Perdana Menteri Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Negara 153.

"Saya tak boleh terima (Shamsul kata) PDA tak tulis Bumiputera. Dia faham atau tidak? Atau sengaja buat tak faham?" soalnya lagi.

Dalam temubual dengan The Edge , Shamsul dilaporkan menyalahkan pemimpin Umno kerana campurtangan dalam Petronas.

Sambil menegaskan mengenai pentingnya meritokrasi, ketua pegawai

eksekutif itu dilaporkan berkata beliau tidak melihat warna kulit atau fahaman.

"Pada 2010, kami menyusun semula keseluruhan organisasi, termasuk komposisi lembaga pengarah... Saya bawa masuk orang baru yang berkebolehan. Cakap-cakap mengatakan bahawa saya telah buang semua kakitangan kerajaan, membawa masuk bukan Melayu, membuka Petronas, yang dimiliki orang Melayu, kepada orang bukan Melayu," katanya.

Katanya, itu adalah keadaan sukar yang beliau hadapi pada ketika ini.

[Baca berita lanjut]

Klik KiniTV

ADS