Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ya, Muhyiddin, negara menuju konflik kaum'
Diterbitkan:  Jul 8, 2014 2:34 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Ketika kontroversi ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung hubungan kaum berlarutan, sebuah NGO lantang tampil membenarkan timbalan perdana menteri itu.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berhujah, banyak bukti kukuh bagi membenarkan kenyataan Muhyiddin bahawa wujud tekanan demi tekanan ke atas kedudukan Islam.

Selain itu, terdapat juga perancangan rapi dan tersusun yang boleh mengakibatkan bangsa Melayu terpinggir dan merana di bumi sendiri, dakwa presidennya Abdullah Zaik Abd Rahman.

ISMAweb melaporkan Muhyiddin ( kanan ) ketika berucap di sebuah majlis berbuka puasa di Melaka kelmarin sebagai berkata, akhir-akhir ini wujud tekanan demi tekanan daripada pelbagai pihak atas kedudukan Islam.

Ia antaranya seperti tindakan mempersoal kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan pelaksanaan undang-undang oleh Mahkamah Syariah.

Bercakap kepada laman web itu, Abdullah dilapor mengingatkan umat Islam agar sedar ancaman yang dihadapi dan “negara sedang menjurus ke arah konflik kaum”.

“Sememangnya terdapat bukti kukuh di mana pihak-pihak tertentu sedang memaksa kehendaknya ke atas orang Melayu Islam dan menafikan kedaulatan mereka serta hak-hak mereka yang dijamin perlembagaan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, tidak ada kontroversi dalam kenyataan Muhyiddin seperti didakwa DAP yang didakwanya cuba membayangkan Muhyiddin seorang “taasub dan pelampau dan anti bukan Melayu”, lapor ISMAweb .

Beliau sebaliknya menyalahkan DAP yang menurutnya melampau ekstrim serta lupa daratan dan didakwa memberi tekanan kepada Muhyiddin supaya disingkirkan daripada kabinet.

“Kecaman yang dibuat DAP adalah sebahagian daripada tekanan ke arah tersebut. DAP dan parti-parti Cina berselindung di sebalik slogan multiracial untuk memaksa kehendak mereka dan menidakkan hak-hak kaum Melayu dan Islam,” katanya.

ADS