Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PP dijangka bentang enakmen ternakan babi
Diterbitkan:  Jul 11, 2014 5:28 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Kerajaan Pulau Pinang dijangka membentangkan Enakmen Penternakan Babi pada persidangan Dewan Undangan Negeri November ini bagi mengetatkan kawalan pengurusan haiwan itu.

    

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata antara perkara yang diberi tumpuan dalam penggubalan dasar baharu itu ialah keselamatan makanan dan kebersihan meliputi seluruh aspek operasi ladang.

    

"Kerajaan negeri bekerjasama erat dengan Jabatan Veterinar dalam menyediakannya (enakmen). Kami harap dapat dimuktamadkan dan gazet sebelum akhir tahun ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Pesakit dan Ulang Tahun Pertama Pusat Dialisis CAT Balik Pulau hari ini.

    

Ditanya adakah kerajaan negeri bercadang atau mempertimbang memindahkan operasi ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat Balik Pulau ke kawasan lain yang jauh dari penempatan penduduk, beliau berkata langkah itu akan melibatkan kos yang tinggi.

    

"Kami juga dalam dilema dan telah berkali-kali mempertimbangkannya. Ia keputusan sukar, melibatkan kos hampir puluhan juta ringgit kerana melibatkan keluasan tanah persendirian yang luas," katanya.

    

Isu ladang babi Kampung Selamat menjadi hangat apabila seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat disahkan dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE) baru-baru ini.

    

Dalam perkembangan lain, Dr Afif berkata empat lagi pusat dialisis seperti pusat dialisis CAT itu akan dibuka masing-masing satu di Daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.

    

Beliau berkata pusat dialisis CAT itu bertujuan membantu pesakit buah pinggang berpendapatan rendah dengan kadar bayaran antara RM30 dan RM80 berbanding kos sebenar sebanyak RM110.

"Pusat dialisis di Balik Pulau akan menjadi projek perintis untuk pusat baharu itu nanti," katanya.

    

- Bernama

ADS