Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hamas: gencatan hanya 'perabis dakwat'
Diterbitkan:  Jul 15, 2014 2:37 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Pasukan bersenjata Palestin Hamas menolak cadangan gencatan senjata yang dibuat Mesir dalam berdepan konflik bersenjata di Gaza, menurut laman rasminya.

Sayap tentera Hamas Briged Qassam pada Selasa berkata, pihaknya tidak diberikan maklumat lanjut berhubung usaha itu daripada mana-mana pihak sama ada secara rasmi atau pun tidak rasmi, lapor Al Jazeera .

Kenyataan itu menyebut, daripada laporan media, ia menggambarkan ia hanya usaha supaya mereka “tunduk dan menyerah” dan menambah ia tiada nilai dan “hanya menghabiskan dakwat”.

Sebelum itu, Perdana Menteri Isrel Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata akan membincangkan perkara itu dengan kabinet keselamatannya, yang dijadual pada Selasa.

Cadangan Mesir itu supaya gencatan senjata bermula pada Selasa pagi dan diikuti rundingan untuk pendamaian jangka panjang.

Kumpulan bersenjata Jihad Islam pula dilapor menerima peranan Mesir untuk “menamatkan kerakusan Israel dan mempertahankan rakyat Palestin” tetapi tidak akan menerima gencatan senjata tanpa syarat.

“Mamantau gencatan senjata untuk jangka pendek kemudian berunding syarat-syaratnya tidak dapat diterima. Kita sudah melaluinya dan ia gagal,” kata seorang pemimpin kanannya Khaled al-Batch.

John Kerry terbang ke Kaherah

Dalam kenyataan dalam Al-Aqsa TV pada Isnin, Tmbalan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh menyatakan kecurigaannya pada usaha itu.

“Rakyat kita cuba mengelakkan perang tetapi musuh-musuh Zionis memulakannya, dia mengumumkannya, dia bersedia untuknya, dia mula membunuh wanita, kanak-kanak dan anggota keluarga, memusnahkan rumah-rumah. Seluruh keluarga dihapuskan,” beliau dipetik sebagai berkata.

“Hati kecil saya dan orang ramai bersama keluarga-keluarga ini, tetapi pertumpahan darah ini menjadikan kita lebih komited terhadap hak-hak kita dan untuk menghentikan keganasan ini, untuk menamatkan keadaan ini di Gaza dan Tebing Barat.”

Agensi berita Mesir pada Isnin melaporkan bahawa Setiausaha Negara Amerika Syaikat John Kerry akan terbang ke Kaherah bagi membincangkan situasi itu selepas Presiden Barack Obama berasa “digalakkan” dengan cadangan gencatan senjata negara itu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 189 rakyat Palestin terbunuh dengan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata 80 peratus mangsanya adalah orang awam.

Seramai 1,350 orang lagi tercedera dan lebih 17,000 lagi menumpang teduh di tempat perlindungan PBB.

Di pihak Israel pula, sekurang-kurangnya 10 tercedera akibat tembakan roket daripada Gaza. Tiada kematian direkodkan.

ADS