Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP Shah Alam Khalid Samad akan mengadakan sidang media khas bagi menjelaskan kenyataannya meminta dihapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga ia dianggap 'biadab' oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan sidang media itu di pusat khidmatnya di Seksyen 13 Shah Alam petang esok.

Semalam Sultan Selangor dilapor amat kesal dan kecewa dengan kenyataan Khalid itu dan tindakan beliau mempersoalkan kuasa MAIS itu seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama Islam.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Khalid berkata beliau terkejut bahawa Sultan Selangor murka dengan kenyataan beliau sekaligus menganggapnya 'biadab'.

Ahli jawatankuasa PAS itu menjelaskan bahawa maksud kenyataannya ialah mencadangkan kepada DUN Selangor supaya "mengkaji kemungkinan menarik balik kuasa eksekutif demi menjaga (institusi) Sultan".

"Bila tindakan eksekutif (sebagai contoh) ceroboh kuil, rampas bible, ia menimbulkan kemarahan dan ia terus ditujukan kepada MAIS sebagai eksekutif.

"(Jadi) kita nak menjaga sultan, bukan nak rampas kuasa sultan. Sekiranya cadangan itu tidak diterima, tiada sebab, pada perspektif saya, untuk baginda murka.

"Ia bukan cadangan yang berniat jahat tetapi menjaga (institusi) Sultan," katanya.

Sehubungan itu, Khalid berkata beliau akan menulis surat untuk memohon menghadap Sultan bagi menjelaskan perkara itu dan akan menghantarnya hari ini atau esok.

Lihat Komen
ADS