PERKASA Selangor mendesak MP Shah Alam Khalid Samad memohon ampun dan maaf secara terbuka terlebih dahulu sebelum menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Yang Dipertuanya Abu Bakar Yahya berkata Khalid telah melakukan kesalahan kepada baginda secara khusus dan umat Islam negeri itu secara umum kerana didakwa mahu menarik kuasa badan yang menjaga kesucian agama Islam negeri tersebut.
"Kalau dia (Khalid) tak minta maaf, pandangan rakyat kepada dia nampak seperti pencacai golongan anti islam.
"Terpulang kepada Sultan untuk maafkan dia tapi dia mesti minta maaf," kata beliau dalam sidang media di Shah Alam hari ini.
Semalam, Sultan Selangor bertitah bahawa kenyataan Khalid meminta dihapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dianggap baginda sebagai 'biadab'.
Sementara Khalid memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa beliau terkejut dengan reaksi Sultan dan akan mengadakan sidang media khas bagi menjelaskan kenyataannya itu esok.
Beliau turut menyatakan akan menulis surat untuk memohon menghadap Sultan bagi menjelaskan perkara itu dan akan menghantarnya hari ini atau esok.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Abu Bakar mahu PAS mengenakan tindakan displin terhadap kenyataan "biadap" Khalid itu.
Tiada masalah MB wanita
Beliau juga mempersoal niat ahli jawatankuasa PAS itu mengeluarkan kenyataan itu sama ada mengikut agenda DAP atau pihak yang didakwanya cuba menghapuskan kuasa Sultan.
"Apa sebenarnya permainan di sebalik kenyataan Khalid Samad? Adakah dia membawa suara DAP yang anti-Islam atau puak-puak tertentu untuk cuba menghapuskan kuasa Sultan.
"Adakah selama ini dia melihat MAIS dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) melakukan sesuatu yang menganiayai agama dan bangsa lain?" soal beliau.
Sementara itu, Abu Bakar berkata beliau tidak bermasalah sekiranya Selangor mendapat menteri besar wanita "jika tiada lagi pemimpin lelaki yang layak memimpin."
Secara peribadi, Abu Bakar berkata beliau mahu pemimpin lelaki yang berasal dari Selangor dan dari parti yang mendapat sokongan majoriti iaitu PAS.
"Kalau dah tak ada pemimpin lelaki yang boleh memimpin baru kita ambil perempuan.
"Saya tak kata Wan Azizah tak boleh ke apa. Tapi kalau dah tak ada, lelakilah," kata beliau.
