Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kehilangan besar gerakan HIV & AIDS Global
Diterbitkan:  Jul 19, 2014 6:00 AM
Dikemaskini: 11:39 PM

Majlis AIDS Malaysia (MAM) menyifatkan kematian sebilangan besar penyelidik Aids dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine, Khamis lepas, sebagai satu kehilangan amat besar kepada pergerakan HIV/AIDS global.

    

Selain itu, majlis itu berkata pemergian banyak pakar, yang sedang dalam perjalanan ke Persidangan Aids Antarabangsa ke-20 (AIDS 2014) di Melbourne, Australia, adalah satu kehilangan yang tidak ternilai kepada kehidupan manusia sejagat.

    

Presiden MAM Datuk Dr Raj Karim berkata antara 298 mangsa nahas tersebut adalah termasuk bilangan besar penyelidik yang dijadual menghadiri Persidangan AIDS 2014 selama lima hari itu, mulai esok.

    

"Pakar penyelidik HIV terkemuka dunia Prof Dr Joep Lange, antara penumpang pesawat itu, merupakan seorang saintis yang cemerlang," katanya dalam kenyataan hari ini.

    

"Beliau merupakan pejuang kemanusiaan yang luar biasa yang berjuang tanpa mengenal penat lelah untuk meningkatkan akses kepada rawatan antiretroviral, yang menyelamatkan nyawa pengidap HIV di negara-negara membangun," katanya.

    

Dr Lange, seorang warganegara Belanda, merupakan bekas presiden Persatuan AIDS Antarabangsa dan telah menceburi dunia penyelidikan penyakit HIV selama 30 tahun serta menulis lebih 350 jurnal.

    

Dr Raj berkata mangsa-mangsa ini menampilkan suatu suara kolektif, semangat dan dedikasi kepada perjuangan memerangi HIV dan AIDS di peringkat global.

    

Menurut laporan media sosial sebelum ini, lebih 100 peserta Persidangan AIDS 2014 termasuk isteri Lange, Jacqueline van Tongeren, pekerja kesihatan, aktivis dan staf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan bersama-sama dalam perjalanan ke persidangan tersebut.

    

MAM menghantar delegasi lima anggota ke persidangan tersebut yang dijangka disertai oleh 14,000 peserta daripada 200 buah negara.

    

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

    

Kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan terkorban selepas pesawat tersebut dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah, kira-kira 50km dari sempadan Rusia.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS