Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dengan pengumuman Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti menteri besar Selangor, mata kini tertumpu kepada Sultan Selangor dan penyandang jawatan itu.

Sidang media Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah malam tadi menyatakan peralihan kuasa perlu dilakukan dengan tertib dan teratur bagaimanapun seolah menganggap semua pihak telah memberi konsensus mereka.

Hubungan rapat antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah sepanjang enam tahun lalu dilihat mampu menjadi halangan kepada 'Langkah Kajang' ini.

Sumber dari pejabat MB hari ini mendedahkan kemungkinan Sultan akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara ini dalam minggu ini.

Ini kerana tindakan mengumumkan calon itu seolah-olah memberi gambaran telahpun mendapat "persetujuan" dari pihak Istana Selangor.

Sultan masih memiliki kuasa memilih menteri besar di Selangor di mana pihak parti politik hanyalah "mencadangkan" sahaja.

Perkara 53(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 menyatakan baginda boleh melantik seorang ADUN pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti ADUN, selaku menteri besar.

 

Bawah Perkara 55(2)(a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang menteri besar.

Tekad pertahan jawatan

 

Pada masa sama, seseorang menteri besar juga haruslah berbangsa Melayu dan beragama Islam sepertimana yang telah termaktub dalam undang-undang berkenaan.

Dalam sidang medianya minggu lalu, Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang sendiri turut dilihat bertekad mempertahankan jawatan beliau sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sementara Setiausaha Politik Khalid, Azman Abidin pula hari ini turut dilapor akhbar The Star sebagai berkata Khalid mengambil sikap tunggu dan lihat sementara Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat bermesyuarat esok.

Selain Sultan dan Khalid, Anwar turut menyatakan bahawa PAS telah mengadakan konsensus untuk menukar Khalid, cuma belum membincangkan penggantinya.

Bagaimanapun hari ini PAS Selangor menolak dakwaan bahawa parti itu bersedia menukar Khalid dengan seorang calon baru.

Pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad menolak laporan kononnya parti itu bersetuju untuk menolak Khalid selepas beberapa siri perbincangan rasmi dan tidak rasmi diadakan di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat.

"Laporan itu tidak tepat kerana kami tidak pernah dimaklumkan oleh pimpinan PAS Pusat bahawa mereka telah bersetuju untuk menukar Khalid.

"Ianya bukan seperti perbincangan terkini di antara PAS Selangor dan PAS Pusat.

"PAS Pusat sentiasa menghubungi kami di dalam isu MB sama ada untuk mendapatkan pandangan atau menyampaikan perkembangan terkini," katanya dipetik dari portal Antarapos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS