Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sehingga pelantikan baru, Khalid teruskan tugas MB
Diterbitkan:  Jul 22, 2014 3:32 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau masih menteri besar Selangor sehingga proses penggantian dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Beliau berkata walaupun menghormati keputusan PKR mencalonkan Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baru, beliau berpegang teguh pada undang-undang negeri.

"Saya percaya mereka yang terlibat dalam usaha (menggantikan MB) ini perlu melalui proses-proses tersebut untuk mencapai matlamat yang  mereka inginkan.

"Sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, saya akan terus menjalankan tugas sebagai menteri besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor yang telah memilih saya melalui proses pemilihan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Perkara 53(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 menyatakan baginda Sultan boleh melantik seorang ADUN pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti ADUN, selaku menteri besar.

  

Di bawah Perkara 55(2)(a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang menteri besar.

Tak terpengaruh

Khalid juga meminta agar rakyat Selangor tidak terpengaruh dengan fitnah provokasi dan kontroversi berhubung jawatan tertinggi negeri itu.

"Saya berharap rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita fitnah, bersifat provokasi dan kontroversi kerana Negeri Selangor mempunyai tatacara pelantikan Menteri Besar secara tertib dan beradab seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan kepada seluruh rakyat Selangor dan para pelabur bahawa isu ini tidak sedikit pun menjejaskan  sistem pentadbiran negeri," kata beliau.

Semalam ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Wan Azizah untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

Esok mesyuarat majlis presiden Pakatan akan memberikan konsensus mereka terhadap Wan Azizah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS