Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda BN tidak berpuas hati dengan pemberian dua kotak hitam pesawat MH17 yang terhempas dan pemulangan mayat mangsa malah menuntut "penjenayah sebenar dihadapkan ke muka pengadilan".

Kenyataan tegas itu dibuat Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun sewaktu mengetuai demonstrasi ringkas Pemuda BN  depan kedutaan Rusia di ibu negara tengah hari ini.

"Kami mahu penyangak dan penjenayah sebenar dihadapkan ke muka pengadilan," kata Khairul Azwan.

Beliau berkata demikian sebelum menyerahkan memorandum menuntut perkara tersebut kepada setiausaha pertama kedutaan itu di Jalan Tun Razak.

Pada awalnya kekecohan kecil berlaku depan pintu pagar kecil di sisi pagar utama kedutaan Rusia apabila delegasi seramai enam orang diketuai Azwan meluru ke pintu itu sambil melaungkan "Kami tetap mahu jumpa duta" berulang-ulang kali.

Delgasi itu bagaimana pun tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan kedutaan oleh setiausaha pertama tersebut dan pada masa sama polis mengarahkan para wartawan berada dalam jarak lima meter dari pintu itu.

Tontonlah TV

"Duta menjelaskannya segala-galanya dan pagi esok anda tontonlah TV," kata setiausaha pertama itu dipercayai merujuk kepada sidang media dutanya, Lyudmila G Vorobyeva pagi ini.

"Kami ini cuma berenam, tunjukkan sedikit rasa hormat kepada mereka yang mati (dalam pesawat MH17)," kata Khairul Azwan.

"Saya tak akan berbincang apa-apa dengan anda," jawab setiausaha itu yang namanya kurang jelas kedengaran sewaktu ia disebutnya.

"Anda sangat bermegah diri. Beginikah cara layanan anda kepada kawan?" balas Khairul Azwan.

Setiausaha itu kemudian meminta Khairul Azwan menyelitkan memorandum itu di celah di pintu pagar itu tetapi Khairul Azwan enggan kerana mahu penyerahan memorandum itu dirakam media.

"Kami mahu kamera merakamkan penyerahan (memorandum) ini," katanya.

Selepas kira-kira 20 minit pertikaman lidah berlangsung, polis mengarahkan petugas media agar berada di seberang jalan depan pintu masuk kedutaan.

100 berpakaian hitam

Setiausaha itu kemudiannya keluar menerima memorandum daripada Azwan yang juga naib ketua Pemuda Umno.

Peserta perhimpunan seramai kira-kira 100 orang itu berpakaian baju-T hitam dengan tulisan #PrayForMH17 dan memegang beberapa sepanduk.

Antara tulisan yang tercatat di sepanduk itu ialah "The world is not interested in the game between Russia and Ukraine", "We mourn for MH17, We pray for Gaza", dan "Malaysians demand the truth #MH17".

Mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan pada awal perhimpunan dan turut melaungkan berulang-ulang kali "Kami mahukan keadilan" depan pintu masuk kedutaan.

Turut hadir pada demonstrasi tadi adalah Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon serta anggota Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS