Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS Kedah dakwa kenyataan diputar belit
Diterbitkan:  Jul 23, 2014 3:41 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Pemuda PAS Kedah kini mendakwa kenyataannya yang mengaitkan unsur kemurkaan Allah dengan insiden MH17 diputar belit oleh Malaysiakini.

Bercakap kepada Sin Chew Daily , ketua penerangannya Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata Malaysiakini tidak menyiarkan kenyataan beliau sepenuhnya mengenai perkara itu.

Beliau mendakwa hanya meminta sistem penerbangan Malaysia (MAS) untuk mengkaji semula penjualan alkohol dan arak dalam penerbangannya.

Beliau hanya menasihatkan kerajaan dan MAS bahawa tindakan menghentikan penjualan alkohol tidak  akan menyebabkan kerugian kepada MAS, lapor Sin Chew Daily hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata kenyataan asalnya langsung tidak menyasarkan kesalahan berkaitan alkohol di bahu MAS atau penumpang serta tidak mengaitkannya dengan insiden terhempas itu.

Beliau dilapor melahirkan kekesalan dan tidak bermaksud melukakan perasaan ahli keluarga mangsa MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine minggu lalu.

Malaysiakini kelmarin melaporkan Ahmad Tarmizi mengaitkan tragedi MH17 dengan “unsur kemurkaan Allah” ekoran hidangan arak dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan pramugarinya yang tidak menutup aurat.

“Dalam tragedi dan musibah yang berlaku ini perlunya pihak kerajaan Malaysia dan MAS melihat unsur kemurkaan Allah yang berada dalam perut pesawat-pesawat MAS yang mewakili syarikat penerbangan sebuah negara umat Islam,” katanya.

Kenyataan Ahmad Tamizi yang berjudul "MAS amal maksiat undang kemurkaan Allah" itu juga menyebut:

“Dengan hidangan arak yang tidak pernah cuba dihapuskan, malah aspek aurat serta pakaian yang terkeluar daripada landasan syarak juga tidak diendahkan.

"Menaiki pesawat MAS tidak membawa para penumpang merasai bahawa pesawat ini dikendalikan oleh sebuah negara yang saban tahun menganjurkan musabaqah al-Quran malah menjadi johan saban tahun dalam hal taranum Al Quran. Hal ini amat mengecewakan ramai pihak memandangkan ayat-ayat al-Quran yang dialunkan mengandungi banyak ayat hukum berkenaan arak dan aurat serta tanda-tanda kemurkaan Allah."

Kenyataan penuh beliau turut disiarkan pada tengah malam itu atas permintaannya, termasuk menggunakan tajuk yang diminta.

Pautannya kemudian ditambah dalam laporan sedia ada.

Kenyataan Ahmad Tarmizi itu dipertikaikan pelbagai pihak termasuk di alam siber dan pelbagai parti politik dalam BN dan Pakatan Rakyat.

Malaysiakini mempertahankan laporannya dalam isu itu sebagai tepat.

Seorang editor bahasa Melayu Malaysiakini Jimadie Shah Othman berkata, Pemuda PAS Kedah menghantar dua kali kenyataan medianya, yang kedua dengan judul baru "Tidak rugi MAS hentikan hidangan arak".

Bagaimanapun, selain tajuk, kandungan kedua-dua kenyataan media itu masih sama.

'Tak payahlah dilanjutkan'

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad Tarmizi menyatakan tidak berpuas hati dengan tajuk yang digunakan dan sudah memaklumkan supaya ia ditukar.

“Banyak ayat dalam kenyataan saya tak diambil penuh, jadi (ia) tergantung dan jadi ayat tu tak sempurna,” katanya.

Dimaklumkan bahawa tajuk yang diberikan berdasarkan kandungan sidang medianya, termasuk pautan kepada kenyataan penuh, Ahmad Tarmizi menjawab:

“Ya, tapi bila (ayat) tidak penuh hilang maksud dan timbulkan salah faham. Saya melihat apa yang berlaku kenyataan saya tidak diambil penuh.

“Dan saya beri kenyataan kepada pemberita Sin Chew kerana ia menyebabkan salah faham apa yang nak saya sampaikan.

“Perkara ini tak payah dilanjutkan sebab benda ini bukan besar. Cuma bila hurai tak lengkap jadi salah faham,” katanya.


Laporan berkaitan:

Pemuda PAS Kedah kait nahas MH17 dengan unsur kemurkaan

Tidak rugi MAS hentikan hidangan arak (kenyataan penuh)

PKR kesal kenyataan Pemuda PAS Kedah

Since when did MAS become an Islamic institution?

Ahmad Tarmizi’s twisted logic on Allah’s wrath

We condemn idiotic remark of Kedah PAS leader

'PAS impairs Islam, saying Allah crashed MH17'

MIC: PAS leader should be struck by lightning

Lihat Komen
ADS