Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
700 pelajar MMU bantah kenaikan yuran
Diterbitkan:  Jul 24, 2014 6:47 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Kira-kira 700 pelajar Universiti Multimedia Malaysia (MMU) Melaka berhimpun di luar bangunan President Square universiti itu di Bukit Beruang di Melaka hari ini sebagai bantahan kenaikan yuran sehingga RM1,000 setahun yang dikenakan kepada setiap pelajar bermula awal bulan lepas.

    

Kesemua pelajar terbabit yang terdiri daripada pelbagai jurusan itu berhimpun lebih satu jam yang berakhir pada 12 tengah hari dalam keadaan aman.

    

Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata perhimpunan itu bertujuan menunjukkan protes terhadap kenaikan yuran teknologi maklumat (IT) dan perpustakaan secara mendadak, yang perlu dijelaskan serta-merta tanpa penjelasan pihak MMU.

    

"Sebelum ini pelajar dikenakan yuran IT dan perpustakaan hanya RM200 setahun sebelum ditukar nama kepada yuran sumber dan dinaikkan kepada RM1,000 setiap seorang.

    

"Kami amat terkejut dan marah dengan kenaikan yuran tersebut dan beranggapan ia agak keterlaluan dan membebankan lebih-lebih lagi yang bergantung pada pinjaman pengajian seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional," katanya ketika ditemui pemberita di Melaka hari ini.

    

Pelajar berusia 23 tahun itu berkata wakil pelajar universiti itu telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan MMU sebanyak tiga kali sejak bulan lepas bagi membincangkan kenaikan yuran terbabit namun tiada jalan penyelesaian dicapai.

    

Katanya pihak pengurusan MMU hanya menjelaskan kenaikan yuran tersebut masih rendah berbanding universiti swasta lain.

    

Sementara itu, Presiden MMU Prof Datuk Dr Muhamad Rasat Muhamad ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan membuat kenyataan media dalam masa terdekat berhubung isu berkenaan.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS