Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Atlet jadi 'wira' kerana kempen pro-Gaza
Diterbitkan:  Jul 25, 2014 3:44 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

NGO ABIM memuji pelumba basikal negara Azizulhasni Awang yang berani memakai sarung tangan bertulis 'Save Gaza' ketika pusingan pertama acara lumba basikal di temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland semalam.

Presidennya, Amidi Abd Manan menyifatkan Azizulhasni sebagai wira umat Islam dan wira kemanusiaan apabila menunjukkan solidaritinya kepada rakyat Palestin yang diserang oleh tentera rejim Zionis.

“Beliau mewakili generasi muda Malaysia tanpa mengira latar agama dan bangsa menyertai umat dunia membantah pemerkosaan kemanusiaan oleh regim teroris Zionis.

“Gaza bukan konflik politik biasa tetapi ia adalah satu pencabulan hak kemanusiaan yang amat buruk. Tiada rekod seburuk Israel dalam perihal hak asasi manusia yang membunuh tanpa belas dan merampas tanah rakyat Palestin,” katanya.

Dalam kenyataan medianya, Amidi juga menyeru rakyat Malaysia bersama memberikan sokongan terhadap keberanian pelumba muda yang mempertaruhkan masa depan kerjayanya dan mungkin keselamatan dirinya.

"Sukan adalah wahana membina perpaduan dan kemanusiaan. Justeru tindakan Azizulhasni adalah demi memartabatkan kemanusiaan," kata Amidi lagi.

Bagaimanapun New Straits Times melaporkan Azizul bersetuju untuk memohon maaf kepada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) yang menyalahkan beliau kerana menunjukan protes depan kamera.

Azizulhasni dilaporkan menghantar mesej dengan menayang sarung tangan "Save Gaza" selepas menewaskan pelumba England Philip Hindes dalam Sukan Komanwel di Glasgow semalam.

Sementara itu, dalam tulisan Facebook miliknya, Azizulhasni memohon maaf kepada pihak yang salah faham maksud sebenar tindakannya itu dan menyifatkan ia tidak ada kena mengena dengan protes politik.

"Ia daripada hati sanubari saya untuk menzahirkan rasa kemanusiaan. Sejak bila menzahirkan kemanusiaan dianggap sebagai bersifat politik?

“Saya mohon maaf kepada pihak yang fikir saya melakukan kesalahan dan terima kasih banyak kepada setiap orang yang sering menyokong dan mendoakan saya. Tiada kata lain yang saya dapat luahkan," katanya.

Beliau juga memaklumkan telah menerima amaran ekoran tindakannya tetapi dibenar meneruskan perlumbaan hari ini tanpa sarung tangan 'Save Gaza'.

Lihat Komen
ADS