Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam negara, penyiasat berlepas ke Belanda

Peguam Negara Tan Sri Gani Patail bersama tiga pegawai penyiasat polis akan berlepas ke Belanda esok bagi membantu dalam penyiasatan insiden penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang

dipercayai ditembak jatuh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Gani dan pasukan penyiasat itu juga akan mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa di Belanda.

"Mereka akan membantu operasi pasukan Malaysia yang sudah berada di situ untuk memudahkan pergerakan pasukan penyiasat," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan pelancaran jabatan baharu PDRM, di Kuala Lumpur hari ini.

Khalid berkata sebelum itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar 21 anggota forensik untuk membuat siasatan mengenai nahas pesawat itu di Kharkiv dan Netherlands.

Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, timur Ukraine, Khamis lepas.

Laporan media asing menyebut pesawat itu ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Di majlis itu, Khalid berkata dua jabatan baharu yang dilancarkannya itu adalah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

"JPJKK ditubuhkan untuk mengurangkan jenayah menerusi sistem pencegahan dan pembanterasan yang berkesan manakala JIPS memfokus ke arah pemantapan integriti warga polis selain meningkatkan imej pasukan keselamatan itu terutamanya di mata masyarakat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS