Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Yahya Sahri menegaskan bahawa kesemua ketua cabang PKR di Selangor telah menerima keputusan parti untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar  yang baru.

Ini turut termasuk Azizi Ayob yang membuat kenyataan nama beliau dipergunakan dalam satu kenyataan media meminta menteri besar sekarang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikenakan tindakan displin kerana mengingkari arahan parti.

"Itu hal 'peribadi' dia (Azizi). Mungkin malam itu dia ditakutkan atau diminta menyokong orang lain.

"Tetapi apa yang saya tahu beliau bersetuju menyokong keputusan parti ketika (kenyataan media) itu dibuat," katanya kepada Malaysiakini.

Khamis lalu, Yahya yang juga ketua cabang PKR  Tanjong Karang mengeluarkan kenyataan menggesa parti itu supaya mengenakan tindakan disiplin terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ekoran tindakannya sejak akhir ini yang membelakangkan pendirian dan ketetapan kepimpinan tertinggi PKR.

Yahya bersama ketua cabang PKR Sabak Bernam Abu Talip Bujang, Mohamad Fauzi Ahmad (Sungai Besar), Burhan Aman Shah (Sepang), dan Azizi Ayob (Kapar)  turut menyeru agar semua ahli PKR termasuk ADUN dan Exco dalam pentadbiran Selangor pada waktu ini mengenepikan perbezaan pendapat serta bersatu hati dalam menyokong ketetapan Majlis Pimpinan Pusat pada 21hb Julai lalu.

Azizi ketika dihubungi  sekali lagi menafikan beliau bersetuju dengan kenyataan media tersebut.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lanjut dan menutup telefonnya.

"Saya dengan ini menafikan kenyataan akhbar tersebut dan menegaskan bahawa saya tidak pernah bersetuju dengan kenyataan tersebut," kata beliau menerusi SMS kepada Malaysiakini .

Sementara itu, Yahya berkata tiada satupun suara yang membantah nama Wan Azizah dicalonkan sebagai menteri besar baru ketika mesyuarat peringkat negeri dan pusat parti itu sebelum ini.

Beliau menegaskan PKR sebelum ini telah memberi peluang kepada ahlinya di peringkat negeri dan pusat untuk menyuarakan pendapat mereka dan memberi pandangan ketika perbincangan diadakan.

Ini, menurut beliau termasuk ketua cabang yang berdiam diri sehingga pihak lain mengeluarkan kenyataan bagi pihak mereka.

"Dalam keputusan MPP sebelum ini, dan perjumpaan dengan ketua cabang, semua menyokong sebulat suara. Ketika nak dibuat pengundian keputusan, ia tak perlu kerana semua sokong sebulat suara.

"Sepatutnya ahli hanya bawa keluar keputusan parti sahaja," kata beliau.

Lihat Komen
ADS