Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gencatan senjata 72 jam Israel-Palestin bermula

Israel dan gerila Palestin pimpinan Hamas memulakan 72 jam gencatan senjata pada Selasa yang menggunakan Mesir sebagai perantara.

Ia dilihat sebagai usaha menggalakkan rundingan ke arah penamatan kekal konflik Gaza yang sudah sebulan berlarutan.

Di minit-minit terakhir sebelum gencatan bermula pada jam 8 pagi (0100 EDT), Hamas sempat melancarkan roket yang dianggap sebagai pembalasan terhadap “pembunuhan beramai-ramai” Israel.

Pasukan darat Israel telah keluar daripada Semenanjung Gaza dan jurucakap tenteranya berkata, tujuan utama mereka untuk memusnahkan terowong penyusupan rentas sempadan telah selesai.

Tentera dan kereta kebal akan “ditempatkan semula dalam kedudukan bertahan di luar Gaza dan kami akan mengekalkan kedudukan bertahan itu”, kata jurucakap Leftenan Kolonel Peter Lerner, menggambarkan kesediaan Israel meneruskan peperangan jika diserang.

Sebelum ini, usaha Mesir dan kuasa-kuasa serantau, yang diselia oleh Amerika Syarikat dan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal meredakan peperangan Israel-Palestin dalam tempoh dua tahun ini.

Pihak berkuasa Gaza berkata, setakat ini peperangan mengorbankan 1,834 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam. Israel berkata, 64 tenteranya dan tiga orang awam terbunuh sejak peperangan meletus pada 8 Julai, selepas lonjakan serangan roket Hamas.

Israel dijangkan akan menghantar wakil bagi menyertai rundingan di Kaherah untuk mengukuhkan rancangan gencatan senjata untuk jangka masa panjang.

Buat masa sekarang, Menteri Hubungan Strategik Israel Yuval Steinitz memberitahu radio tentera negaranya: “Tiada perjanjian. Seperti yang kita sudah kata, diam akan dibalas dengan diam”.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, mereka sudah memaklumkan Mesir berhubung tempoh bertenang 72 jam.

Jabatan Negara Amerika Syarikat berharap gencatan senjata itu akan berhasil dan semua pihak harus menghormatinya secara penuh.

Jurucakapnya Jen Psaki berkata, Washington akan terus berusaha membantu ke arah penyelesaian jangka panjang.

Lihat Komen
ADS