Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanpa Splash, penjanjian struktur air tak terjejas
Diterbitkan:  Aug 5, 2014 3:37 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Perjanjian dasar induk penstrukturan semula air Selangor tidak akan terjejas walaupun tanpa penyertaan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH), kata Pengurusan Aset Air Bhd

(PAAB).

    

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata SPLASH hanya menguruskan satu loji rawatan air berbanding Puncak Niaga ‎Holdings Bhd yang menguruskan 27 loji rawatan, manakala Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pula menyalurkan air ke semua kawasan di Selangor.

    

"Jika Syabas, Puncak Niaga dan Konsortium Abbas Sdn Bhd sudah masuk, hanya tinggal satu sahaja lagi, iaitu SPLASH, jadi tiada masalah (seharusnya timbul)," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAAB di ibu negara hari ini.

    

Penstrukturan semula urusan pengambilalihan syarikat konsesi sudah dimulakan, dan kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), mengemukakan tawaran pengambilalihan kepada pemegang saham empat syarikat konsesi, namun sehingga ini hanya SPLASH sahaja yang masih belum memuktamadkan tawaran berkenaan.

    

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata PAAB menjangkakan proses pengambilalihan aset air Selangor yang tidak berkaitan dengan syarikat konsesi berjumlah RM2 bilion itu dapat dicapai dalam tempoh dua bulan.

    

"Pembelian aset-aset air itu merupakan sebahagian daripada kandungan perjanjian dasar induk, dan ia masih dalam peringkat penelitian rapi, dan apabila selesai, baru kita boleh lihat (hasilnya).

    

"RM2 bilion itu akan digunakan secara serentak dengan pengambilalihan aset. Kalau (nilai) aset capai jumlah berkenaan, kita akan salurkan melalui KDEB," katanya.

    

Aset tersebut katanya kini milik syarikat konsesi, dan PAAB akan membantu kerajaan negeri dalam proses pengambilalihan aset dengan memberi dana sebanyak RM2 bilion.

    

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Selangor pada Jumaat lepas menandatangani perjanjian dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor.

    

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan persekutuan manakala kerajaan Selangor diwakili Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

    

Perjanjian berkenaan adalah lanjutan kepada perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 26 Februari berkaitan pembinaan loji rawatan di Hulu Langat Selangor.

    

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS