Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Exco Selangor daripada PAS tidak akan meletak jawatan atau berhenti dari bekerjasama dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita akan teruskan kerja seperti biasa. Tidak ada kata nak berhenti. Business as usual (berkerja seperti biasa).

"Saya ulang balik pendirian kami sama seperti Majlis Syura sebelum ini tiada masalah dengan Khalid," kata pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Ab Samad.

Katanya, sekiranya perjalanan pentadbiran negeri terganggu kerana tiada exco maka rakyat Selangor akan menyalahkan Pakatan Rakyat.

"Masalahnya kalau tak beri kerjasama yang jadi mangsa ialah rakyat.

"Kita akan terus berjalan seperti biasa kena fikir (tentang imej) Pakatan Rakyat sekarang ini," kata beliau ketika ditemui di majlis sambutan hari raya PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata tiga exco DAP Selangor mungkin bertindak meletak jawatan susulan keputusan PKR memecat keanggotaan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Keputusan DAP terkini pula hari ini bagaimanapun memutuskan exconya kekal bagi memastikan perjalanan kerajaan negeri semasa proses pertukaran menteri besar.

Iskandar mendedahkan beliau menerima arahan dari Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk tidak meletak jawatan selepas DAP mengeluarkan kenyataan itu semalam.

Beliau yang juga exco kanan Selangor berkata PAS Selangor akan terus mengikut arahan parti yang menurut beliau sehingga kini masih tiada masalah dengan Khalid.

"Sekarang ini memang sepertimana kita kekal dengan pendirian kita dan pendirian majlis syura. Kita semua dah tau pendiriannya," kata beliau.

Sementara itu, PKR juga berkata exconya tetap akan bekerja seperti biasa walaupun kerana tidak mahu bekerjasama dengan menteri besar yang bukan daripada Pakatan.

"Adakah tidak benar sama sekali (exco letak jawatan).

"Pakatan akan terus kekal seperti semasa hadapi ujian sebelum ini dan akan tunjuk semangat permuafakatan yang jelas melalui polisi serta agenda bersama dan terus pertahankan prinsip.

"Kita akan kelu akan keluar daripada krisis ini lebih kuat dan mantap," kata beliau.

'Khalid mesti kekal bersama Pakatan'

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Khalid Samad berkata beliau terkejut dengan pemecatan Khalid itu.

Bagaimanapun beliau berkata sebarang keputusan sama ada untuk menyokong atau tidak akan ditentukan oleh mesyuarat PAS pada 17 Ogos ini

"Khalid masih boleh kepada PKR dalam tempoh 14 hari ini, " kata beliau ketika mengulas pemecatan Khalid.

Lihat Komen
ADS