Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pergerakan Puteri Umno Kota Kinabalu semalam mengemukakan usul supaya keahlian pergerakan itu didaftarkan secara automatik bagi mengukuhkan lagi matlamat meremajakan parti.

Ketua Puteri Umno Cawangan Kolam Kecil Noor Ramziyah Ahmad semasa membawa usul berkenaan berkata, tiba masanya batasan birokrasi mendaftarkan ahli Puteri dikurangkan bagi memudahkan aktiviti perkaderan sekali gus melancarkan usaha menarik sokongan golongan muda.

"Puteri Umno bahagian dengan ini mencadangkan dan mengusulkan supaya golongan wanita berumur antara 18 dan 35 tahun yang mendaftar sebagai ahli diserapkan secara automatik sebagai ahli pergerakan Puteri.

"Kaedah itu boleh membantu memastikan sasaran ahli pergerakan seramai 500,000 orang berjaya dicapai," katanya semasa membentangkan usul pada persidangan tahunan Puteri Umno Kota Kinabalu semalam.

Seramai 106 perwakilan menghadiri mesyuarat tersebut.

Menurut Ramziyah, sebelum ini peraturan parti yang mengehadkan usia anggota Puteri bermula 18 hingga 35 tahun tidak begitu praktikal dan tidak relevan dengan proses untuk menarik generasi muda menyertai Puteri.

"Tempoh masa itu dirasakan tidak lagi begitu sesuai terutama dalam keadaan perkembangan dunia hari yang menyaksikan golongan wanita telah bergerak berlari sama pantas dengan golongan lelaki," ujar beliau.

Katanya, dengan peraturan baharu itu matlamat Puteri Umno sebagai platform kepada wanita Melayu/Bumiputera muda melibatkan diri secara aktif dalam politik selain mencungkil potensi kepimpinan wanita muda dan menyerlahkan identiti wanita muda boleh dilakukan lebih berkesan.

Sementara itu, usul kedua dibawa oleh Ketua Puteri cawangan Jalan Api Api, Hasliana Hasim mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah akademi khusus melatih ahli pergerakan itu dari semasa ke semasa.

"Akademi Puteri UMNO perlu ditubuhkan untuk memberi pendedahan dan latihan mengenai agenda perjuangan parti. Akademi ini sangat diperlukan kerana untuk memberi latihan dan pendedahan mengenai agenda perjuangan parti," tegas beliau.

Tambah Hasliana, cadangan akademi itu adalah untuk menggiatkan lagi aktiviti dan kempen jelajah ke seluruh negara dalam usaha mempromosikan budaya politik bersih dan terpimpin sebagai usaha memerangi politik persepsi dan fitnah.

"Ini penting untuk memberi gambaran betapa Puteri Umno sentiasa mendahulukan perjuangan agama dan bangsa sekalipun ianya perlu melalui jalan yang sukar," katanya.

Beliau berkata, cadangan mengenai akademi khusus untuk Puteri itu telah disuarakan oleh mantan Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin semasa Perhimpunan Agung Puteri Umno dan Perhimpunan Agung Umno 2012 lagi dan sewajarnya kepimpinan parti segera mempertimbangkannya.

Lihat Komen
ADS