Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia meneruskan pentadbiran Selangor tanpa bantuan exco negeri dari PKR dan DAP.

Beliau menyatakan artikel 53 (2) (b) Undang-undang tubuh Negeri Selangor menyatakan Selangor hanya memerlukan minima empat orang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri atau exco.

"Saya membaca laporan media parti PAS telah nyatakan sokongan bahawa keempat-empat ahli PAS dalam exco kerajaan negeri bawah pimpinan saya oleh itu saya boleh teruskan mesyuarat exco," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun beliau menyatakan akan bertemu enam exco lain dari PKR dan DAP untuk bertanya mengenai kesanggupan bekerjasama bersama pentadbiran beliau.

"Kalau mereka tak mahu bersama dalam pasukan menteri besar, lebih baik mereka tak jadi exco," kata beliau.

PAS Selangor semalam memberitahu exco mereka akan terus bekerjasama dengan Khalid kerana tiada masalah dengan pentadbiran beliau.

Setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali pula hari ini berkata, exco mereka akan menjalankan tugas seperti biasa bawah pentadbiran Khalid Ibrahim sehingga keputusan baru dibuat.

Empat orang exco PAS ialah pesuruhjayanya Iskandar Ab Samad, timbalan pesuruhjaya Sallehen Mukhyi, Dr Yunus Hairi dan Dr Halimah Ali.

Khalid menyatakan pentadbiran negeri tidak bermasalah kerana memperoleh cukup sokongan dari penjawat awam Selangor.

"Pentadbiran negeri bukan pentadbiran politik, pentadbiran negeri ditadbir oleh exco dan disokong serta dilaksanakan penjawat awam.

"Oleh itu saya tak nampak ada masalah atau kekurangan kecekapan," kata beliau.

Lihat Komen
ADS