Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, Pakatan Rakyat adalah mekanisme perubahan politik yang terbaik yang pernah dipersembahkan kepada rakyat Malaysia.

Sistem parti politik di Malaysia adalah berasaskan ideologi dan ini adalah merupakan ciri-ciri utama kebanyakan parti politik di negara sedang membangun.

Berbanding dengan negara Barat dan membangun parti politik lebih berorientasikan ideologi pragmatik walaupun mereka mengekalkan asas utama yang membezakan antara mereka, adapun dari segi dasar kerajaan, parti politik di negara membangun lebih cenderung kepada sokongan merentasi ideologi politik.

Sebab itu dalam mengamalkan kuasa pemerintahan, negara membangun tidak banyak berhadapan dengan usaha menjatuhkan kerajaan yang berkuasa.

Iklim politik kepartian

Apa yang berlaku dalam iklim parti politik Malaysia mengisyaratkan persaingan ideologi yang terdedah kepada obsesi berpolitik negatif walaupun atas kos pudarnya kepercayaan rakyat ke atas mereka asalkan mereka dapat mempertahankan ‘ideologi’ mereka.

Obsesi kepada berpolitik terbawa hingga kepada daerah kuasa memerintah sehingga advokasi dasar yang progresif dan membina kuasa yang diamanahkan oleh pengundi terpaksa diabaikan.

Suasana ini jika berlarutan tidak banyak menguntungkan konsep kerajaan yang berkuasa kerana ketua kerajaan dari parti yang memerintah dan pasukannya sentiasa dibimbangi oleh usaha politiking untuk menggagalkan dasar-dasar yang diperkenalkan.

Perbahasan kepentingan kepartian lebih banyak daripada perbahasan dasar dan usaha memperbaikinya untuk kepentingan rakyat.

 

Sentimen Perkauman

Sentimen perkauman turut memainkan peranan menyemarakkan politiking bagi menggagalkan parti yang memerintah. Ahli politik Malaysia terkenal dengan menggunakan kad beracun perkauman apabila segala usaha secara budiman berhadapan dengan kegagalan.

Isu polarisasi kaum sentiasa didendangkan sehingga wujudnya persekitaran permusuhan dan ugutan. Parti-parti politik terdedah kepada pelabelan-pelabelan perkauman sehingga prejudis menguasai keadaan.

Permainan perkauman ini membawa kepada ‘zero-sum game’ kerana penguasaan yang lebih akan mengurangkan pesaing masing-masing kadangkali di atas risiko menggagalkan kerajaan yang berkuasa.

Bahayanya kad perkauman ialah rakyat diheret kepada perbahasan yang tidak produktif kerana cuba mempertahankan diri daripada dilabel perkauman daripada berusaha untuk membanteras perkauman yang menjadi barah dalam politik negara hari ini.

 

Ia lebih malang apabila karat perkauman masih ada dalam budaya berkolusi.

Politik kolusi

Politik Malaysia tidak dapat lari daripada pendekatan kolusi yang menghimpunkan berbagai parti politik atas satu platfom untuk bersaing. Sejak Perikatan/BN terbentuk wajah kolusi merupakan ciri utama mengukuhkan politk pelbagai kaum di Malaysia.

 

Bagi pembangkang pula pendekatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) dan akhirnya Pakatan merupakan pesaing terkuat politik kolusi untuk merintis jalan ke persada kuasa.

Politik kolusi ada risikonya dari sudut keberkesanan permuafakatan antara parti-parti. Selain daripada terpaksa mempelajari erti perkongsian mereka juga terpaksa berhadapan isu ideologi yang lazimnya soal keaslian dan keutuhan prinsip dipersoalkan oleh ahli sendiri.

 

Adalah agak sukar untuk bersetuju atas satu matlamat politik tertentu tanpa terpaksa berkompromi isu yang mungkin dianggap fundamental.

Di sinilah kolusi parti berideologi akan menghadapi suasana kerapuhan dan sedikit sahaja kocakan akan mengakibatkan kolusi akan terancam.

Konflik intra-parti

Amalan politik kolusi juga mencabar daerah interaksi intra-parti dari sudut sejauh manakah rakan kolusi boleh campur tangan atas alasan ia membahayakan matlamat kolusi.

Ia juga menuntut mekanisma berkesan bagaimana sesuatu masalah itu dibincangkan sesama kepimpinan parti berkolusi dan ini memerlukan persefahaman yang baik dan interaksi yang positif.

Perundingan dalam semangat kolusi diperlukan dalam semua alat dan wasilah pemerintahan seperti pembahagian jawatan di peringkat negeri, kerajaan tempatan dan akar umbi sebagaimana mereka terpaksa menguruskan ketidakpuasan hati semasa proses pengagihan kuasa berlaku.

Semua ini mencabar kewibawaan mengurus dan bukan sekadar berbekalkan semangat kolusi semata-mata. Masalah kecil boleh membawa kepada permasalahan yang lebih besar dan keadaan ini boleh membawa kepada krisis ketidakpercayaan antara parti berkolusi.

Kejujuran dalam berkolusi menuntut perjanjian disepakati dan dipenuhi secara bersama. Perjanjian perlu ditunaikan dan mesti dipertahankan bersama.

Sebarang unsur tikam dari belakang mesti dijauhi sama ada melalui kenyataan ataupun tindakan. Seburuk kolusi adalah apabila masing-masing ada agenda tersirat dan hanya mementingkan kedudukannya.

Mengambil kesempatan terhadap kelemahan rakan kolusi adalah seburuk teman untuk bersepakat apatah lagi membina ketidakpercayaan terhadap rakan kolusi.

Model Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat sebenarnya adalah hasil perkembangan kesedaran politik untuk menyahut atau menyambut ketibaan politik baru di Malaysia. Ia hasil daripada momentum kesedaran kepada perlunya ruang demokrasi yang lebih luas dan tuntutan amalan kerajaan yang telus dan bebas rasuah.

Saya maksudkan momentum kerana perjuangan ke arah itu telah pun dimulakan sebelum ini, cumanya ia tidak menjadi satu gerakan rakyat yang telah diterjemahkan dalam peti-peti undi.

Oleh kerana desakan terlalu besar kepada perlunya satu mekanisma perubahan yang cuba diwakili oleh Pakatan, maka fasa pembentukan struktural Pakatan ia datang kemudian.

Oleh kerana kesemua parti Pakatan tersentak dengan kedatangan politik baru ini mereka lebih sibuk menguruskan tapak sokongan daripada menguruskan organisasi Pakatan itu sendiri. Hasilnya ialah kedudukan Pakatan dari sudut kebersamaan dan penghayatan parti berkolusi tidak bersepadu.

Walaupun demikian pencapaian Pakatan secara berorganisasi berjaya melahirkan sesuatu yang struktural seperti Resolusi Shah Alam 2009 bersetuju atas Kesepakatan Bersama, Resolusi Kepala Batas 2010 menghasilkan Buku Jingga dan Resolusi Alor Setar 2011 melahirkan Manifesto Pakatan.

Kewujudan Majlis Presiden dan Sekretariat Pakatan walaupun agak rapuh tetapi ia adalah usaha mengimbangi sambutan massa dan pengurusan dalaman kolusi.

Di peringkat negeri dan akar umbi nasib organisasi Pakatan tidaklah sebaik di peringkat pusat malah lebih buruk tahap keserasian kerjanya.

Keadaan bertambah buruk dalam keputusan pembahagian kerusi di mana beberapa kerusi menyaksikan pertindihan dan seterusnya bertembung sesama rakan kolusi.

Kesan kegagalan mendapat kata sepakat dasar satu lawan satu melantunkan kesan kepada persepsi rakyat bahawa Pakatan gagal menguruskan pertindihan sesama mereka.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan organisasi Pakatan, mereka masih mampu menafikan dua pertiga hegemoni BN selama ini dengan mendapat 85 kerusi daripada 222 jumlah kerusi parlimen.

Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan jatuh ke bawah penguasaan Pakatan di sebalik kekurangan aspek pengorganisasian Pakatan.

 ESOK: Krisis S'gor bukan sebab Pakatan perlu berpecah


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS dan Ahli Parlimen Parit Buntar.

Lihat Komen
ADS