Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Enam anggota exco PKR dan DAP yang dipecat oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan tersebut hari ini mendesak menteri besar itu meletak jawatan.

Kumpulan itu yang diketuai bekas exco kanan, Datuk Teng Chang Khim berkata, mandat Khalid untuk terus kekal sebagai menteri besar kini semakin terhakis.

"Mandat yang diberikan rakyat Selangor pada pilihan raya lalu adalah kepada Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

"Selepas itu, beliau diberi mandat oleh PKR dengan persetujuan Pakatan.

"Setelah kehilangan sokongan daripda parti dan dipecat PKR, maka dia telah kehilangan mandat untuk teruskan tugas sebagai menteri besar," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Sementara itu, ADUN Sungai Pinang itu juga menjelaskan, kesemua lima exco tersebut tidak menerima surat peletakan jawatan daripada Khalid kerana menurut mereka, surat tersebut tidak sah.

Katanya, tindakan pemecatan exco yang dilakukan Khalid tidak mematuhi Perkara 53(2)(b) undang-undang tubuh kerajaan Selangor dan dibaca bersama dengan Seksyen 47 Akta Interpretasi 1948 dan 1967.

Ini kerana, jelasnya, Khalid tidak menghadap sultan Selangor semalam untuk memohon perkenan baginda untuk memecat mereka.

'Tak perlu ke mahkamah'

Sehubungan itu, ketika ditanya sama ada akan membawa perkara tersebut ke pihak perundangan, Teng berkata, tidak.

Sebaliknya mereka ingin menyelesaikan kes yang melibatkan pemecatan lima exco tersebut secara politik.

"Saya tidak rasa kita perlu membawa ke mahkamah. Kerana tindakan (memecat) yang dilakukan Khalid jelas menyalahi undang-undang tubuh kerajaan negeri.

"Saya tidak perlu selesaikan hal ini di mahkmah tetapi yang penting ialah mengenai legitimasi. Apapun, Khalid tidak mempunyai legitimasi untuk kekal sebagai menteri besar dan ini bukan soal perundangan tetapi isu politik," katanya.

Lihat Komen
ADS