Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kerajaan Pulau Pinang dan bekas presiden Aliran P Ramakrishnan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di negeri itu.

Barisan lima anggota hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menolak soalan undang-undang yang dicadangkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau kecewa dengan keputusan tersebut tetapi akan mematuhinya. [Berita lanjut menyusul]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini memutuskan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

    

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata kerajaan negeri tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.

    

Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

    

Beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang telah melampaui bidang kuasanya dalam membuat perintah pengecualian itu yang melanggari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    

Katanya pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan adalah keputusan dasar yang diambil Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, oleh itu permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengecualikan keputusan dasar seperti itu perlu merujuk kepada Majlis berkenaan terlebih dahulu.

    

Md Raus yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Ramly Ali sebulat suara menolak petisyen yang dikemukakan kerajaan negeri Pulau Pinang dan P. Ramakrishnan, bekas presiden Aliran, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

    

Dalam keputusannya, Raus menegaskan seksyen 10 dan seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan adalah berperlembagaan.

    

"Parlimen telah menggubal seksyen 10 dan seksyen 15 di bawah kuasa yang diperuntukkan kepadanya mengikut Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keseragaman undang-undang dan dasar berkaitan dengan kerajaan tempatan yang turut merangkumi pilihan raya kerajaan tempatan," katanya.

    

Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Ramakrishnan memfailkan petisyen memohon untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan yang dimansuhkan 48 tahun lepas, pada 1 Mac 1965.

    

Pada 27 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pempetisyen untuk memulakan petisyen bagi mencabar kesahihan peruntukan dalam Akta Kerajaan Tempatan yang menghalang badan perundangan negeri daripada mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri-negeri.

    

Mereka mahu mahkamah mengisytiharkan seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan tidak sah dan tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

    

Dalam petisyen itu, kerajaan negeri dan Ramakrishnan berkata pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di George Town pada 1951, dengan dikendalikan pihak berkuasa tempatan.

    

Mereka berkata Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 pada 9 Mei tahun lepas dan mewartakannya pada 5 Julai tahun lepas.

    

Kerajaan Pulau Pinang mendakwa enakmen yang baru diluluskan itu turut melengkapkan Suruhanjaya Pilihan Raya dengan kuasa perundangan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang, dan oleh itu suruhanjaya itu secara sah diberi kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu.

    

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang hadir di mahkamah hari ini berkata kerajaan negeri akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang bertepatan dengan kedaulatan undang-undang.

    

Pempetisyen diwakili peguam Tommy Thomas manakala kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh dan Alice Loke Yee Ching.

Lihat Komen
ADS